Ahad, 17 Disember 2023 | 11:04pm
Pemain Terengganu FC, Ivan Mamut meraikan jaringannya ketika menentang Perak FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin Gong Badak. - NSTP/GHAZALI KORI
Pemain Terengganu FC, Ivan Mamut meraikan jaringannya ketika menentang Perak FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin Gong Badak. - NSTP/GHAZALI KORI

TFC tamat saingan Liga Super 2023 dengan kemenangan

KUALA TERENGGANU: Terengganu FC (TFC) menamatkan saingan Liga Super musim ini dengan ceria selepas menumbangkan Perak FC 3-0 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, malam ini.

Kemenangan dalam program 'TFC Appreciation Day' itu memastikan skuad kendalian Tomislav Steinbruckner mengakhiri saingan liga di tangga keenam dengan mengumpul 40 mata hasil 26 perlawanan.

Pada perlawanan itu, skuad Penyu mendapat gol pertama pada minit keenam menerusi penyerang kelahiran Croatia, Ivan Mamut yang mudah menolak masuk bola kesilapan pertahanan dan penjaga gol skuad The Bos Gaurus, Farhan Abdul Majid.

Sepuluh minit berselang, penyerang meningkat naik, Engku Muhammad Nur Shakir Engku Yacob menambah jaringan kedua menerusi tandukan menarik selepas bijak memanfaatkan hantaran lintang pemain sayap, Nik Muhamad Sharif Haseefy Mohd Lazim untuk mengukuhkan kedudukan 2-0.

Pada minit ke-23, pemain kelahiran Haiti, Sony Norde berpeluang menambah jaringan menerusi rembatan padu dalam kotak penalti, namun percubaannya berjaya ditepis penjaga gol.

Selepas ketinggalan dengan dua jaringan, anak buah Yusri Che Lah cuba bangkit, namun benteng yang dikawal empat pemain tempatan, Azam Azmi Murad, Safwan Mazlan, Shahrul Nizam Ros Hasni dan pemain skuad 'adik', Terengganu FC II, Faris Rifqi Abdul Rashid kebal bertahan hingga berakhir babak pertama.

Pada minit ke-67, skuad The Bos Gaurus menerusi sepakan percuma penyerangnya, Luka Milunovic hampir berjaya merapatkan kedudukan, namun rembatannya hanya sedikit melepasi palang gol sekali gus terselamat pintu gol yang dikawal penjaga gol ketiga, Syed Muhammad Nasrulhaq Syed Bidin.

Dalam keghairahan lawan menyerang, hasil satu umpanan 'arkitek' Nurillo Tukhtasinov pada minit ke-80, pemain gantian Nor Hakim Hassan menambah duka pelawat selepas bijak memperdaya penjaga gol sebelum merembat jauh dari luar kotak penalti untuk pasukannya mendahului 3-0 dan kedudukan itu kekal hingga tamat perlawanan.

Berakhir perlawanan, pemain bersama pihak pengurusan TFC menghadiahkan lebih 1,000 cenderahati kepada lebih 11,000 peminat yang hadir bagi meraikan sokongan mereka sejak awal musim lagi.

Berita Harian X