Sabtu, 16 Disember 2023 | 12:52pm
Pemain import Sabah FC, Ramon Machado akan terus bersama pasukan itu musim depan. - Foto Sabah FC
Pemain import Sabah FC, Ramon Machado akan terus bersama pasukan itu musim depan. - Foto Sabah FC

Ramon Machado kekal bersama Sabah

KOTA KINABALU: Sabah FC jelas tidak mahu kehilangan penyerang importnya, Ramon Machado de Macedo yang bersama pasukan Sang Badak itu sejak Julai lalu.

Dengan sumbangan lapan gol menerusi 10 perlawanan dalam Liga Super sepanjang lima bulan lalu, tiada alasan untuk pengurusan Sabah FC membiarkan pemain berumur 32 tahun dari Brazil itu meninggalkan Sang Badak.

Berikutan itu, menjelang pertemuan penting perlawanan akhir Liga Super 2023 di antara Sabah FC dan Kedah Darul Aman (FC) di Stadium Likas, esok, satu acara menandatangani kontrak Ramon diadakan di sebuah hotel, di sini.

Ia berdasarkan jemputan yang diedarkan kepada media untuk hadir menyaksikan dan membuat liputan Majlis Menandatangani Kontrak Ramon Machado Bersama Sabah FC yang diadakan tengah hari esok.

Difahamkan, Ramon akan menandatangani kontrak dengan disaksikan Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya.

Tidak dinyatakan tempoh kontrak yang bakal ditandatangani Ramon, namun pasti mencukupi untuk sekurang-kurangnya kekal bersama Sabah FC sepanjang musim depan.

Langkah Sabah FC itu secara tidak langsung menamatkan spekulasi berkenaan masa depan Ramon yang sebelum ini dikhabarkan bakal disambar pasukan lain.

Ia juga dilihat dapat mengukuhkan kedudukan Sabah FC, bukan saja untuk meneruskan saingan Liga Super pada musim depan, malah demi mencapai misi Sang Badak untuk merampas tangga ketiga Liga Super musim ini daripada Kedah, malam esok.

Ramon pasti menjadi sandaran penting untuk Sabah mencipta gol kemenangan dengan dibantu beberapa lagi tonggak pasukan seperti Darren Lok, Saddil Ramdani, Miguel Angel Garrido Cifuentes atau Cifu dan ramai lagi.

Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee sebelum ini memberi peringatan supaya anak buahnya tidak diganggu dengan pelbagai tawaran dan berita yang disebarkan melalui media sosial terutama dalam persiapan Sabah FC menghadapi perlawanan akhir Kumpulan H Piala AFC, Khamis lalu dan Liga Super, esok.

Beliau turut mengingatkan pasukan lain yang berhasrat untuk 'memancing' pemain Sang Badak bagi menyertai mereka pada musim depan supaya melakukannya secara profesional.

Berita Harian X