Sabtu, 16 Disember 2023 | 12:38pm
Pengendali KDA FC, Nafuzi Zain mahu tempat ketiga kekal menjadi milik anak buahnya. - Foto KDA FC
Pengendali KDA FC, Nafuzi Zain mahu tempat ketiga kekal menjadi milik anak buahnya. - Foto KDA FC

Kedah, Sabah rebut tempat ketiga

ALOR SETAR: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) memburu kemenangan pada aksi terakhir Liga Super musim 2023 menentang Sabah FC di Stadium Likas, Kota Kinabalu malam esok bagi mengesahkan tempat ketiga.

Impian Sang Kenari untuk kekal sebagai pasukan ketiga terbaik Liga Super musim ini cukup bermakna buat semua pemain termasuk pengendalinya, Nafuzi Zain yang hadir dengan reputasi besar selaku jurulatih yang pernah melakar kecemerlangan dalam Liga Malaysia sebelum ini.

"Untuk aksi terakhir menentang Sabah FC di tempat lawan, impian kami semestinya mahu merebut kedudukan tiga pasukan teratas Liga Super. Untuk itu kami tidak mahu ditewaskan pada aksi ini. Sudah pasti kami ke sana untuk menang dan mahu kedudukan lebih baik yang boleh dicapai Kedah.

"Kami sudah terlepas peluang untuk kedudukan tangga kedua selepas tewas kepada Selangor FC sebelum ini, jadi kami tidak mahu sekali lagi terlepas peluang ini dan mahu melengkapkan misi ini dengan kejayaan disasarkan.

"Selepas satu musim pemain beraksi bersama dan saya rasa pemain sudah mencapai persefahaman terbaik dan memahami apa peranan penting dan impian yang mereka sasarkan, saya mahu mereka kekal fokus dan berjuang habis-habisan untuk memburu kemenangan itu," kata Nafuzi.

Tambahnya, dia juga sedar tugas terakhir untuk anak buahnya itu tidak semudah yang disangka kerana pemainnya perlu mengelak sebarang tekanan daripada Sabah FC yang pastinya lebih selesa dan memilki kelebihan apabila beraksi di laman sendiri.

"Tekanan untuk mengekalkan kedudukan itu bagi saya adalah perkara yang normal buat mana-mana pasukan dan kami perlu cukup bersedia dengan mentaliti yang diserapkan kerana ini perebutan dua pasukan yang mahu menang.

"Oleh itu saya berharap pemain dapat kuatkan lagi mental dan sentiasa bersedia untuk menghadapi keadaan di tempat lawan," katanya.

Selepas mengharungi 25 perlawanan, KDA FC kini mengumpul 53 mata di tempat ketiga, Manakala Sabah FC pula berada hanya satu anak tangga di bawah KDA dengan 51 mata.

Berita Harian X