Jumaat, 15 Disember 2023 | 5:23pm
Penjaga gol KDA FC, Kalamullah Al-Hafiz mahu pastikan pintu gol Kedah tidak dibolosi pada aksi menentang Sabah FC. - Foto KDA FC
Penjaga gol KDA FC, Kalamullah Al-Hafiz mahu pastikan pintu gol Kedah tidak dibolosi pada aksi menentang Sabah FC. - Foto KDA FC

Kalamullah tak rela gawang Kedah dibolosi

ALOR SETAR: Penjaga gol utama Kedah Darul Aman FC (KDA FC) Kalamullah Al-Hafiz bertekad memastikan gawang Kedah tidak dibolosi pada aksi penting dan terakhir saingan Liga Super menentang Sabah FC di Stadium Likas, Kota Kinabalu Ahad ini.

Menurut Kalamullah, aksi penentuan tempat ketiga dan keempat ini adalah ujian yang cukup getir buat KDA FC bagi mempertahankan kedudukan tangga ketiga liga selepas dikecewakan Selangor FC 0-1 ketika perebutan tangga kedua awal bulan ini.

"Saya mahu memastikan gawang tidak dibocori pada aksi kali ini bagi mengelak keciciran mata dan memastikan misi kami mengekalkan kedudukan tangga ketiga musim ini dapat dipertahankan.

"Kami mahu bangkit semula bagi merebut peluang tempat ketiga yang kami tidak boleh bolos lagi bagi memastikan kami mendapat kemenangan atau sekurang-kurangnya seri untuk layak pada kedudukan tiga terbaik Liga Super musim ini.

"Sekiranya dipilih beraksi pada perlawanan terakhir musim ini, pastinya saya mahu melengkapkan penampilan dengan aksi yang saya sasarkan bagi membuktikan kemampuan bersama Sang Kenari ," katanya.

Kalamullah juga sedar skuadnya perlu menggandakan usaha dalam latihan bagi memastikan tahap mental serta fizikal pemain cukup bersedia bagi berhadapan Sabah FC.

"Memang satu aksi yang dijangka cukup sengit dan mencabar buat kami kerana kita tahu aksi ini di tempat lawan dan skuad Sabah FC ini hanya tewas sekali sahaja pada aksi Liga Super di laman mereka sendiri setakat ini.

"Kita boleh jangkakan keadaan di Sabah nanti pasti cukup mencabar kerana ianya sama seperti cabaran yang kita pernah tempuh ketika menentang Selangor tempohari untuk perebutan kedudukan tempat kedua.

"Saya perlu betul-betul fokus, perbaiki setiap kelemahan dan memastikan persefahaman yang terbaik bersama barisan pemain pertahanan untuk memastikan misi pasukan di hujung musim tercapai sekaligus meningkatkan lagi prestasi saya bersama pasukan," katanya.

Berita Harian X