Jumaat, 15 Disember 2023 | 3:05pm
Pemain PSM Makasar meraikan jaringan penalti Everton Nascimento pada minit kecederaan menentang Sabah FC di Stadium Likas. - NSTP/MOHD ADAM ARININ
Pemain PSM Makasar meraikan jaringan penalti Everton Nascimento pada minit kecederaan menentang Sabah FC di Stadium Likas. - NSTP/MOHD ADAM ARININ

Kim Swee tak puas hati persembahan Sabah FC

KOTA KINABALU: Ketua Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee jelas tidak berpuas hati dengan persembahan anak buahnya apabila tewas 3-1 di tangan PSM Makassar dalam aksi akhir Kumpulan H, Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di Stadium Likas, malam tadi.

Katanya, kelekaan pemain Sang Badak pada separuh masa pertama menyebabkan mereka dihukum apabila dibolosi dua gol tanpa balas oleh pasukan dari Indonesia itu.

Beliau berkata, walaupun cuba bangkit untuk mendapatkan gol pada awal babak kedua, mereka hanya berjaya mendapat satu gol pada minit ke-72, sebelum sekali lagi dihukum apabila PSM Makassar yang diberikan sepakan penalti pada minit kecederaan.

"Sudah tentu ia satu perkara yang tidak memuaskan bagi saya terutama pada separuh masa pertama di mana kita leka dan apabila kita leka kita dihukum.

"Pada separuh masa kedua, kita cuba untuk mendapatkan gol awal tetapi tidak berjaya juga dan hanya dapat pada minit ke-72.

"Kemudian kita cuba mendapatkan gol penyamaan dan di situ berlakunya lagi serangan balas di mana mereka (PSM Makassar) mendapat sepakan penalti," katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Dalam aksi malam tadi, PSM Makassar mencipta gol pertama menerusi jaringan pemain tengahnya, Yakob Sayuri pada minit ke-15, disusuli gol kedua pada minit ke-35 hasil gol sendiri pemain pertahanan Sabah, Dominic Tan.

Gol tunggal Sabah pula terhasil menerusi tandukan Telmo Castanheira, menjadikan kedudukan gol berubah kepada 2-1 pada minit ke-72.

Namun, PSM Makassar berjaya melebarkan kemenangan kepada 3-1 apabila pasukan pelawat itu dihadiahkan sepakan penalti yang disempurnakan penyerangnya, Everton Nascimento pada minit ke-93 selepas pemain Sabah, Rizal Ghazali dipersalahkan menjatuhkan pemain lawan di kotak penalti.

Secara keseluruhan, Kim Swee menyifatkan keputusan perlawanan malam tadi sebagai sesuatu yang tidak bagus untuk Sabah FC.

Berita Harian X