Jumaat, 15 Disember 2023 | 11:35am
Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee tidak puas hati persembahan babak pertama anak buahnya menentang PSM Makassar dalam saingan Piala AFC di Stadium Likas. - Foto NSTP/Mohd Adam Arinin
Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee tidak puas hati persembahan babak pertama anak buahnya menentang PSM Makassar dalam saingan Piala AFC di Stadium Likas. - Foto NSTP/Mohd Adam Arinin

Kita leka, kita dihukum - Kim Swee

KOTA KINABALU: Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee jelas tidak berpuas hati terhadap persembahan anak buahnya apabila tewas 3-1 di tangan PSM Makassar dalam aksi akhir Kumpulan H, Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di Stadium Likas, malam tadi.

Katanya, kelekaan pemain Sang Badak pada separuh masa pertama menyebabkan mereka dihukum apabila dibolosi dua gol tanpa balas oleh pasukan dari Indonesia itu.

Beliau berkata, walaupun cuba bangkit untuk mendapatkan gol pada awal babak kedua, mereka hanya berjaya mendapat satu gol pada minit ke-72, sebelum sekali lagi dihukum apabila PSM Makassar diberikan sepakan penalti pada minit kecederaan.

"Sudah tentu ia satu perkara yang tidak memuaskan bagi saya terutama pada separuh masa pertama di mana kita leka dan apabila kita leka, kita dihukum.

"Pada separuh masa kedua, kita cuba untuk mendapatkan gol awal tetapi tidak berjaya juga dan hanya dapat pada minit ke-72.

"Kemudian kita cuba mendapatkan gol penyamaan dan di situ berlakunya lagi serangan balas di mana mereka (PSM Makassar) mendapat sepakan penalti," kata Kim Swee.

Dalam aksi malam tadi, PSM Makassar mencipta gol pertama menerusi jaringan pemain tengahnya, Yakob Sayuri pada minit ke-15, disusuli gol kedua pada minit ke-35 hasil gol sendiri pemain pertahanan Sabah, Dominic Tan.

Gol tunggal Sabah pula terhasil menerusi tandukan Telmo Castanheira, menjadikan kedudukan gol berubah kepada 2-1 pada minit ke-72.

Namun, PSM Makassar berjaya melebarkan kemenangan kepada 3-1 apabila pasukan pelawat itu dihadiahkan sepakan penalti yang disempurnakan penyerangnya, Everton Nascimento pada minit ke-93 selepas pemain Sabah, Rizal Ghazali dipersalahkan menjatuhkan pemain lawan di kotak penalti.

Secara keseluruhan, Kim Swee menyifatkan keputusan perlawanan malam tadi sebagai sesuatu yang tidak bagus untuk Sabah FC.

"Peluang-peluang yang kita cipta tidak dapat disempurnakan dan kita tahu pasukan PSM Makassar datang dengan taktik bertahan dan bermain secara 'counter attack' dan mereka berjaya melakukannya.

"Sebaliknya, pemain kita tidak melawan asakan terutama dari segi larian di belakang atau seperti saya katakan, 'counter attack' yang dilakukan oleh pasukan PSM Makassar," katanya.

Bagaimanapun, kekalahan itu tidak mengubah kedudukan Sabah FC yang sudah menempah tiket ke separuh akhir Piala AFC peringkat zon ASEAN selepas mengumpul 12 mata menerusi empat kemenangan dan dua kekalahan sepanjang aksi Kumpulan H.

Berita Harian X