Khamis, 14 Disember 2023 | 8:00pm
Pasukan Pahang terpaksa berlatih di padang futsal menjelang aksi terakhir menentang KL City, Sabtu ini.
Pasukan Pahang terpaksa berlatih di padang futsal menjelang aksi terakhir menentang KL City, Sabtu ini.

Pahang berlatih di padang futsal

KUANTAN: Persiapan Sri Pahang FC terjejas menjelang perlawanan terakhir Liga Super menentang Kuala Lumpur (KL) City FC, Sabtu ini.

Pengendali Tok Gajah, Fandi Ahmad, berkata keadaan cuaca yang tidak menentu terutama hujan di daerah ini menyebabkan skuad itu berlatih di padang futsal.

"Hujan berterusan sejak tiga hari lalu menjejaskan persiapan pasukan apabila kami terpaksa berlatih di padang futsal.

"Namun, saya harap semua pemain dapat berada pada prestasi terbaik kerana kami mahu menamatkan aksi dengan kemenangan," kata legenda bola sepak Singapura itu.

Fandi berkata, biarpun kedudukan kelima kekal sekalipun skuad itu menang, seri atau tewas, ia peluang terbaik buat anak buahnya untuk mempamerkan prestasi terbaik.

Katanya, kemenangan juga akan membantu semua pemain terutama bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

"Saya harap barisan pemain yang diturunkan dapat menyekat pemain lawan daripada meraih kemenangan," katanya.

Berita Harian X