Khamis, 14 Disember 2023 | 6:56pm
Partiban tekad beri aksi terbaik bagi bantu Kedah duduki tempat ketiga Liga Super.
Partiban tekad beri aksi terbaik bagi bantu Kedah duduki tempat ketiga Liga Super.

Kedah tak rela dipintas Sabah

ALOR SETAR: Pemain sayap Kedah Darul Aman FC (KDA FC) J Partiban tekad memberi aksi terbaik bagi memastikan kemenangan menjadi milik skuad Sang Kenari pada aksi terakhir Liga Super menentang Sabah FC di Stadium Likas, Kota Kinabalu Ahad ini.

Kedah yang kini mengutip 53 mata tidak boleh tewas pada aksi itu bagi mengelak kedudukan mereka di tempat ketiga dipintas skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee yang kini menghimpun 51 mata.

Menurut Partiban, skuad kendalian Nafuzi Zain sudah kembali ceria selepas kecewa apabila tewas kepada Selangor 0-1 pada aksi di Stadium Darul Aman pada 2 Disember lalu yang menamatkan impian mereka memburu tempat kedua.

"Walaupun kami hanya perlu seri, namun sasaran kami adalah mengutip mata penuh sebagai penutup terbaik kami di hujung musim Liga Malaysia ini," katanya.

Pemain kelahiran Ipoh berusia 31 tahun itu dan sudah menimba pengalaman bersama skuad Perak, Sarawak, Terengganu dan Kuala Lumpur berkata, pertembungan kedua-dua pasukan sudah pasti sengit hingga ke hujung perlawanan kerana masing-masing kini cuba memburu kedudukan tempat ketiga.

"Melihat reaksi ketika ini dalam pasukan, saya yakin semua pemain kembali bersemangat dan kekal positif mahu memburu kemenangan walaupun kita tahu saingan dan cabaran untuk aksi di tempat lawan begitu tinggi.

"Melihat pada tekanan, Sabah juga tiada pilihan kerana hanya perlu menang dan kami pula ada dua pilihan iaitu seri dan menang untuk mencapai misi tangga ketiga.

"Apa yang paling penting adalah kami tidak boleh bolos dan jika keputusan seri sekurang-kurangnya kami boleh terus kekal di tangga ketiga," katanya.

Berita Harian X