Khamis, 14 Disember 2023 | 2:23pm
Manchester City melengkapkan kejayaan treble musim lalu selepas menundukkan Inter Milan 1-0 untuk memenangi Liga Juara-Juara buat kali pertama. – Foto REUTERS
Manchester City melengkapkan kejayaan treble musim lalu selepas menundukkan Inter Milan 1-0 untuk memenangi Liga Juara-Juara buat kali pertama. – Foto REUTERS

City mahu penuhi kabinet trofi

JEDDAH, Arab Saudi: Pep Guardiola berharap untuk melengkapkan koleksi trofinya sebagai pengurus Manchester City pada Piala Dunia Kelab di Arab Saudi ketika negara beraja itu mahu membuktikan kebolehan mereka menganjurkan kejohanan bola sepak utama buat kali pertama.

City berkunjung ke Jeddah, gelanggang bagi semua tujuh perlawanan pada kejohanan itu, mengintai peluang untuk meraih trofi Piala Dunia Kelab buat kali pertama bagi menokok trofi dimenangi musim lalu - Liga Juara-Juara, Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Piala FA.

"Kami hanya tinggal satu trofi untuk melengkapkan koleksi dan menang semua kejuaraan yang boleh dicapai City," kata Guardiola, yang pernah memenangi pertandingan itu tiga kali ketika bersama Barcelona dan Bayern Munich.

"Kami akan pergi ke sana dan bersiap sedia kerana bagi kami ia satu impian."

Walaupun tidak menang dalam empat perlawanan berturut-turut EPL sebelum ini, City tetap menjadi pilihan utama untuk menjulang trofi lagi sekali.

Tidak sejak Corinthians mengalahkan Chelsea pada tahun 2012, pemenang Liga Juara-Juara gagal menjulang Piala Dunia Kelab.

Tidak kira siapa yang muncul juara pada final 23 Disember ini, akan ada nama baharu di trofi itu.

Karim Benzema (kiri) dan N'Golo Kante membantu Al-Ittihad layak ke suku akhir Piala Dunia Kelab selepas menewaskan Auckland City 3-0 di Jeddah kelmarin. – Foto AFP
Karim Benzema (kiri) dan N'Golo Kante membantu Al-Ittihad layak ke suku akhir Piala Dunia Kelab selepas menewaskan Auckland City 3-0 di Jeddah kelmarin. – Foto AFP

Fluminense adalah wakil Amerika Selatan kali ini selepas memenangi Copa Libertadores buat kali pertama bulan lalu.

Bagaimanapun, ancaman utama buat City mungkin hadir daripada kebangkitan Saudi sebagai kuasa sukan.

Al-Ittihad hanya layak berikutan status mereka sebagai juara liga tuan rumah tetapi mereka menampilkan pemenang Piala Dunia Kelab sebelum ini - Karim Benzema, N'Golo Kante dan Fabinho.

Benzema muncul pemain pertama menjaringkan gol dalam empat edisi Piala Dunia Kelab apabila Al-Ittihad membenam Auckland City 3-0 pada pusingan pertama semalam.

Berikutnya mereka berdepan juara Afrika, Al-Ahly dari Mesir pada suku akhir.

Pemenang satu lagi pertembungan suku akhir antara kelab Mexico, Club Leon dan Urawa Red Diamonds akan bertemu City pada separuh akhir. – AFP

Berita Harian X