Khamis, 14 Disember 2023 | 12:13pm
Graham Potter dipecat Chelsea pada April lalu dan kini berada dalam radar Jim Ratcliffe jika Erik ten Hag dipecat di Manchester United. – Foto REUTERS
Graham Potter dipecat Chelsea pada April lalu dan kini berada dalam radar Jim Ratcliffe jika Erik ten Hag dipecat di Manchester United. – Foto REUTERS

Potter sedia ganti Ten Hag?

LONDON: Graham Potter disenaraikan untuk menggantikan Erik ten Hag di Manchester United.

Difahamkan bakal pelabur Jim Ratcliffe sudah bertemu dengan bekas bos Chelsea, Potter dan lebih sukakan beliau menjadi bos baharu di Old Trafford jika Ten Hag dipecat.

Ancaman terhadap kedudukan pengendali dari Belanda itu meningkat susulan kekalahan 1-0 di tangan Bayern Munich dalam kempen Liga Juara-Juara sekali gus menyaksikan United tersingkir dengan empat mata, jumlah mata terburuk di peringkat kumpulan pernah dialami kelab itu.

Malah mereka tidak berjaya melayakkan diri ke Liga Europa selepas berakhir di tangga tercorot Kumpulan A.

Kegagalan Ten Hag, yang turut tumpas 3-0 kepada Bournemouth dalam aksi Liga Perdana Inggeris Ahad lalu, menyebabkan mereka dicemuh ketika musim mereka semakin membimbangkan.

Jika kalah besar Ahad ini di tangan musuh tradisi Liverpool — yang mana United dimalukan 7-0 pada Mac lalu — ia mungkin menjadi perlawanan terakhir kendalian Ten Hag.

Kedudukan Erik ten Hag di Manchester United semakin genting selepas mereka tewas di tangan Bayern Munich pada aksi Liga Juara-Juara di Old Trafford, awal pagi semalam. – Foto AFP
Kedudukan Erik ten Hag di Manchester United semakin genting selepas mereka tewas di tangan Bayern Munich pada aksi Liga Juara-Juara di Old Trafford, awal pagi semalam. – Foto AFP

Jose Mourinho dipecat oleh Red Devils susulan kekalahan 3-1 di tangan pasukan kendalian Jurgen Klopp itu pada Disember 2018.

Potter, 48, tidak bekerja sejak dipecat oleh Chelsea pada April lalu selepas tidak sampai semusim mengendalikan The Blues.

Namun Ratcliffe tetap menjadi peminat tegar bekas bos Swansea dan Brighton itu dan mahukannya mengendalikan kelab Perancis, Nice.

Ketua INEOS itu akan membeli 25 peratus saham United minggu depan sekali gus akan mengambil alih operasi bola sepak di kelab Manchester itu.

Potter menolak peluang untuk menggantikan Alex Neil sebagai pengurus kelab Liga Kejuaraan, Stoke Coty minggu ini.

Difahamkan beliau hanya bersedia untuk kembali sebagai pengurus jika mendapat tawaran daripada kelab gergasi. – AGENSI

Berita Harian X