Rabu, 13 Disember 2023 | 10:10pm
Pemain Terengganu FC meraikan gol dijaringkan pasukan ketika menentang Bali United di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin Gong Badak. - NSTP/GHAZALI KORI
Pemain Terengganu FC meraikan gol dijaringkan pasukan ketika menentang Bali United di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin Gong Badak. - NSTP/GHAZALI KORI

TFC benam Bali United

KUALA TERENGGANU: Wakil Malaysia, Terengganu FC (TFC) berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah dalam aksi Kumpulan G saingan Piala AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) selepas membenam cabaran Bali United, 2-0 sebentar tadi.

Kemenangan dicapai di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak menyaksikan skuad kendalian Tomislav Steinbruckner kekal menghuni tangga kedua kumpulan dengan mengutip 12 mata hasil enam perlawanan di belakang pendahulu, Central Coast Mariners dari Australia yang mengumpul 13 mata.

Bagaimanapun kejayaan menumpaskan kelab Indonesia itu belum mengesahkan tempat ke separuh akhir kerana skuad Penyu perlu menanti keputusan perlawanan terakhir Kumpulan F membabitkan pertemuan kelab Myanmar, Shan United dengan kelab Kemboja, Phnom Penh Crown esok bagi merebut satu lagi slot ke peringkat itu.

Terdahulu dalam perlawanan itu, finalis Piala Malaysia musim ini berjaya mendapat dua peluang keemasan menerusi Habib Haroon pada minit ke-20 yang terkena palang.

Tiga minit berselang, giliran penyerang meningkat naik, Muhammad Syahmi Zamri mendapat peluang terbaik untuk memecah kebuntuan gol selepas mendapat hantaran Nor Hakim Hassan, namun percubaannya melambung tinggi melepasi palang gol.

Bagaimanapun usaha berterusan tuan rumah akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-38 menerusi rembatan padu kapten, Sony Norde yang sebelum itu mendapat umpanan daripada Habib untuk pasukannya mendahului 1-0.

Sepanjang babak pertama, pintu gol dikawal penjaga gol ketiga TFC, Syed Muhammad Nasrulhaq Syed Bidin langsung tidak diuji dengan percubaan bahaya skuad lawan kendalian Stefano Cugurra.

Pada minit ke-63, Ivan Mamut terlepas peluang terhidang untuk menambah jaringan kedua pasukannya selepas bola rembatannya terkena pertahanan pelawat.

Begitu juga percubaan Nor Hakim pada minit ke-71 hasil hantaran Mamut juga gagal diterjemahkan dengan jaringan biarpun penjaga gol pelawat, Muhammad Ridho sudah tertewas.

Pada minit ke-88, pemain pertahanan, Sardor Kulmatov berjaya meledak gol kedua pasukannya selepas bijak meloloskan diri daripada pertahanan pelawat untuk menjadikan kedudukan muktamad memihak TFC dengan kemenangan 2-0.

Berita Harian X