Rabu, 13 Disember 2023 | 5:58pm
Effendi (kiri) bersama Morales (tengah) dan Ketua Pegawai Eksekutif KL City FC, Stanley Bernard. - Foto ihsan Effendi Jagan.
Effendi (kiri) bersama Morales (tengah) dan Ketua Pegawai Eksekutif KL City FC, Stanley Bernard. - Foto ihsan Effendi Jagan.

Morales pemain naturalisasi paling berbaloi

KUALA LUMPUR: Pemain import Kuala Lumpur (KL) City, Romel Morales dianggap sebagai pemain naturalisasi paling berbaloi buat Malaysia berdasarkan umur dan kualiti yang dimilikinya.

KL City sebelum ini dilaporkan dalam usaha membantu Morales untuk mendapatkan status naturalisasi dan pemain kelahiran Colombia itu dijangka boleh menyarung jersi Harimau Malaya, tahun depan.

Morales akan melengkapkan tempoh lima tahun beraksi di Liga Malaysia (Liga M) musim ini selepas menyertai PKNS pada 2018 sebelum berhijrah ke pasukan Melaka United (2020).

Ejen pemain yang bertanggungjawab membawa Morales ke Liga M, Effendi Jagan Abdullah menyifatkan pemain berusia 26 tahun itu boleh menjadi nilai tambah buat Harimau Malaya terutama menghadapi pusingan akhir Piala Asia di Qatar, bulan depan.

Pengarah Urusan Action Football Asia (M) Sdn Bhd itu menjelaskan, bekas pengendali skuad kebangsaan, Datuk K Rajagobal menjadi individu yang membantu Morales beraksi dalam Liga M bersama PKNS pada 2018.

"Kita pernah bawa dia untuk mencuba nasib bersama Negeri Sembilan, namun pasukan itu tidak minat. Selepas itu orang yang bantu Morales adalah Rajagobal yang ketika itu ketua jurulatih PKNS.

"Rajagobal ambil dia bermain dengan PKNS kerana beliau nampak ada sesuatu pada Morales. Jadi kita kena berterima kasih kepada Rajagobal.

"Sudah pasti Morales boleh memberi impak besar kepada pasukan Harimau Malaya dengan fizikal dia yang baik dan boleh bermain di beberapa posisi.

"Sebelum ini dia bermain sebagai perancang, nombor 10, tetapi di KL City dia boleh bermain sebagai penyerang dan bahagian sayap. Dia memang pemain yang ada kemahiran luar biasa.

"Kalau berdasarkan umur dia, memang berbaloi dia berstatus pemain naturalisasi. Kita tak mahu ambil kuda tua," kata Effendi yang pernah membawa beberapa pemain import terbaik dalam Liga M termasuk Juan Manuel Arostegui, Bruno Martelotto dan Bosko Balaban.

Morales menyertai KL City sejak 2021 dengan dia berjaya membantu kelab itu muncul juara Piala Malaysia 2021 selain naib juara Piala AFC (2022) dan naib juara Piala FA (2023).

Semalam, tersebar komen pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim di salah satu laman Instagram yang mendakwa Morales bakal beraksi bersama Harimau Malaya.

Malah, Morales kini turut dikaitkan dengan spekulasi bahawa dia bakal menyertai juara Liga Super 10 kali berturut-turut, JDT.

Seandainya Morales berjaya mendapat status naturalisasi, dia akan menjadi pemain kelapan yang meraih status itu selepas Mohamadou Sumareh, Liridon Krasniqi, Guilherme de Paula, Lee Tuck, Sergio Aguero, Endrick Dos Santos dan Paulo Josue.

Berita Harian X