Rabu, 13 Disember 2023 | 5:40pm
Ketua jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee pada sidang media menentang PSM Makasar dari Indonesia dalam saingan Piala AFC di Stadium Likas hari ini. - NSTP/MOHD ADAM ARININ
Ketua jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee pada sidang media menentang PSM Makasar dari Indonesia dalam saingan Piala AFC di Stadium Likas hari ini. - NSTP/MOHD ADAM ARININ

Sabah FC enggan dabik dada

KOTA KINABALU: Sabah FC mengambil sikap merendah diri untuk melangkah ke pusingan separuh akhir Piala AFC zon ASEAN meskipun peminat bola sepak melihatnya sebagai pasukan pilihan.

Pengendalinya, Datuk Ong Kim Swee, berkata pencapaian pasukan bimbingannya hingga berjaya ke tahap itu adalah atas disiplin pemain dan peningkatan prestasi yang membolehkannya layak lebih awal.

"Saya tak boleh kata kita adalah pasukan pilihan kerana sebelum bermulanya peringkat kumpulan, kita tahu Haiphong FC, PSM Makassar dan Hougang United FC juga adalah pasukan yang cukup baik.

"Namun, dengan tahap disiplin serta prestasi yang semakin meningkat terutama pada hujung musim oleh Sabah FC, membolehkan kita layak terlebih dahulu dan ini beri impak yang cukup positif.

"Tapi, untuk pusingan seterusnya sudah tentu kita harus lebih bersiap sedia dan yang penting kita harus pastikan perancangan dan latihan kita selepas berakhir musim ini yang mungkin akan melibatkan 'pre session' dan 'all session' di mana kita tak tahu dengan siapa kita akan bertemu pada separuh akhir," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media, di sini, hari ini, sempena perlawanan akhir Kumpulan H Piala AFC menentang PSM Makassar di Stadium Likas, malam esok.

Kim Swee diminta mengulas kedudukan Sabah FC yang dianggap sebagai pasukan pilihan berikutan kejayaan awalnya menempah tiket ke separuh akhir Piala AFC Zon ASEAN selepas menewaskan Hougang United FC 4-1 di Singapura pada 30 November lalu.

Mengenai kemungkinan berlaku pertukaran pemain yang boleh menjejaskan persiapan Sabah FC ke aksi separuh akhir nanti, Kim Swee mengakui ia pasti menyukarkan Sang Badak jika jika berlaku pertukaran beramai-ramai.

"Kalau kita tukar pemain secara beramai-ramai sudah tentu ia menyukarkan kita, tapi kalau kita kekalkan pasukan terbaik kita, ia tentunya akan membantu persiapan.

"Tapi, dalam setiap pasukan, memang lumrah pada awal musim sudah tentu ada pemain baharu dan pemain yang akan keluar. Jadi kita harus meneliti dengan terperinci siapa pengganti dan siapa pemain yang akan hadir," katanya.

Sementara itu, mengulas pertemuan dengan PSM Makassar esok, Kim Swee berkata pasukannya selaku pendahulu Kumpulan H, tetap tidak mengambil mudah kehadiran pemain lawan itu meskipun sudah layak ke separuh akhir Piala AFC.

Berita Harian X