Rabu, 13 Disember 2023 | 10:06am
Penjaring gol FC Copenhagen, Lukas Lerager (tengah) meraikan kemenangan 1-0 ke atas Galatasaray pada aksi Liga Juara-Juara di Parken, Copenhagen awal pagi tadi. – Foto REUTERS
Penjaring gol FC Copenhagen, Lukas Lerager (tengah) meraikan kemenangan 1-0 ke atas Galatasaray pada aksi Liga Juara-Juara di Parken, Copenhagen awal pagi tadi. – Foto REUTERS

Copenhagen mara ke pusingan kalah mati

COPENHAGEN: FC Copenhagen layak ke pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara buat kali kedua dalam sejarah mereka awal pagi tadi apabila jaringan tunggal Lukas Lerager memastikan kemenangan 1-0 di laman sendiri ke atas Galatasaray.

Juara Denmark itu mengatasi ramalan dalam kumpulan yang turut menampilkan Bayern Munich dan Manchester United untuk menempah tiket ke peringkat kalah mati buat kali pertama sejak musim 2010-11.

"Saya hampir hilang kata-kata betapa besar maknanya buat kami untuk meraih lapan mata menentang Bayern Munich, Manchester United dan Galatasaray," kata jurulatih Jacob Neestrup.

"Saya fikir ia satu pencapaian luar biasa kelab Denmark boleh layak. Kumpulan ini terlalu kuat dan dipenuhi terlalu ramai pemain bintang dunia."

Galatasaray pula melayakkan diri ke play-off Liga Europa manakala Manchester United, yang tewas 1-0 kepada Bayern Munich di Old Trafford, tersingkir daripada pertandingan elit Eropah itu.

Penyerang Napoli, Victor Osimhen (tengah) menjaringkan gol kedua menentang Sporting Braga pada aksi Liga Juara-Juara di Stadio Diego Armando Maradona, Naples awal pagi tadi. – Foto AFP
Penyerang Napoli, Victor Osimhen (tengah) menjaringkan gol kedua menentang Sporting Braga pada aksi Liga Juara-Juara di Stadio Diego Armando Maradona, Naples awal pagi tadi. – Foto AFP

"Sasaran kami diteruskan. Kami berada di peringkat play-off Liga Europa. Sasaran kami untuk menang trofi di Eropah jadi sasaran kami belum berakhir," kata jurulatih Galatasaray, Okan Buruk.

Di Naples, Napoli memastikan tempat ke pusingan 16 terakhir selepas menundukkan Braga 2-0 sekali gus menamatkan badi gagal menang di laman sendiri yang sudah menjangkau lebih dua bulan.

Juara Itali itu layak sebagai naib juara Kumpulan C di belakang Real Madrid terima kasih kepada gol sendiri Serder Saatci dan jaringan pertama Victor Osimhen sejak awal Oktober lalu, kedua-duanya hadir pada babak pertama.

Pasukan kendalian Walter Mazzarri boleh layak sekalipun jika kalah dengan perbezaan satu gol tetapi akhirnya selesa layak ke pusingan berikutnya, menamatkan rentetan enam perlawanan tanpa menang di Stadio Diego Armando Maradona.

"Menjadi sasaran kami untuk melepasi peringkat kumpulan, sesuatu yang tidak mudah. Saya fikir kami berhak untuk layak," kata kapten Napoli, Giovanni Di Lorenzo kepada Sky. – AFP

Berita Harian X