Isnin, 11 Disember 2023 | 8:22am
Penyerang Girona, Cristhian Stuani (kiri) meraikan gol keempat pasukannya ketika menundukkan Barcelona 4-2 pada aksi La Liga Sepanyol di Estadi Olimpic Lluis Companys, Barcelona awal pagi tadi. – Foto REUTERS

Girona kejutkan Barca, ungguli La Liga

BARCELONA: Pencabar kejuaraan liga Sepanyol, Girona meraih kemenangan bersejarah 4-2 ke atas musuh Barcelona awal pagi tadi sekali gus merampas semula tangga teratas La Liga dengan jurulatih Michel berkata beliau percaya pasukannya mampu mengalahkan sesiapa sahaja.

Girona menundukkan jiran tetangga Catalunya buat kali pertama di liga utama dalam perlawanan menarik untuk melonjak dua mata di depan Real Madrid, yang seri 1-1 di Real Betis kelmarin.

Juara bertahan Barcelona di tangga keempat selepas pasukan tangga ketiga Atletico Madrid menundukkan Almeria dalam perlawanan terdahulu dan anak buah Xavi ketinggalan tujuh mata di belakang Girona.

Artem Dovbyk meletakkan Girona di depan dan selepas Robert Lewandowski menyamakan kedudukan buat Barcelona, Miguel Gutierrez merembat masuk sekali lagi buat pelawat.

Valery Fernandez mengukuhkan kedudukan Girona dengan berbaki 10 minit sebelum Ilkay Gundogan merapatkan kedudukan bagi mencetus minit-minit akhir yang mendebarkan.

Penyerang Barcelona, Robert Lewandowski dan Ilkay Gundogan kelihatan sugul selepas tewas di tangan Girona pada aksi La Liga Sepanyol di Estadi Olimpic Lluis Companys, Barcelona awal pagi tadi. – Foto AFP

Penyerang veteran Cristhian Stuani meledak masuk dari jarak dekat pada masa kecederaan untuk melengkapkan kemenangan mengagumkan sekali gus mengukuhkan impian kelab kerdil itu menjulang kejuaraan.

"Kami menikmati saat-saat ini, kami dipenuhi dengan dinamik yang positif," kata Michel kepada wartawan.

"Saya tidak pasti jika kami mempunyai keupayaan untuk memenangi La Liga, tetapi kami mampu menewaskan mana-mana lawan."

Kekalahan itu menyentap usaha Barcelona untuk mempertahankan kejuaraan.

"Mereka berhak, mereka patut mendapat pujian, mereka tujuh mata di depan kami," kata Xavi kepada DAZN.

"Kami mahu merapatkan jurang, inilah realiti kami – ini pasukan Barca dalam pembinaan, sekalipun mereka mengkritik saya kerana menyatakannya." – AFP

Berita Harian X