Ahad, 10 Disember 2023 | 10:26pm
Pemain-pemain KL City meraikan jaringan ketika aksi Liga Super menentang Kuching City FC di Stadium Negeri, Kuching. - Foto MFL
Pemain-pemain KL City meraikan jaringan ketika aksi Liga Super menentang Kuching City FC di Stadium Negeri, Kuching. - Foto MFL

KL City cemas diasak Kuching City

KUALA LUMPUR: KL City meneruskan rentak cemerlang apabila merakam kemenangan kedua berturut-turut selepas menewaskan Kuching City FC (KCFC) 3-2 pada aksi Liga Super di Stadium Negeri, sebentar tadi.

Skuad bimbingan Nenad Bacina itu bagaimanapun sedikit cemas selepas mereka mensia-siakan kelebihan dua gol apabila membenarkan KCFC mengikat kedudukan sebelum Arif Shaqirin Suhaimi muncul wira buat KL City FC.

Pada aksi terbabit, pelawat mendahului pada minit ke-18 apabila serangan balas pantas yang dimulakan Saravanan berjaya disudahkan Josue menerusi satu percubaan leret menewaskan Wan Muhammad Azraie.

KCFC beroleh peluang untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-31 namun tandukan Abu Kamara yang menyambut hantaran lintang Petrus Shitembi tepat ke dakapan Muhd Azri Ghani.

Palang menafikan peluang Saravanan untuk menambah gol buat pelawat pada minit ke-31 namun Josue mencetak gol kedua KL City FC yang juga gol kedua peribadinya hasil satu lambungan menarik pada minit ke-41.

KCFC merapatkan jurang menerusi sepakan penalti yang disudahkan Abu Kamara untuk menutup babak pertama dengan kedudukan 1-2.

Bersambung babak kedua, tuan rumah bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-70 apabila Yuki Tanigawa pantas menyambar bola muntah selepas percubaan pertama Pedro Henrique terkena palang.

Tiga mata menjadi milik KL City FC selepas pemain gantian, Arif Shaqirin menyentap semangat KCFC dengan gol kemenangan ketika permainan berbaki 10 minit.

Selepas ini, KCFC akan menutup kempen Liga Super musim ini berdepan Negeri Sembilan FC (NSFC) di Stadium Tuanku Abdul Rahman sementara KL City FC akan menentang Sri Pahang FC (SPFC) di laman sendiri.

Berita Harian X