Ahad, 10 Disember 2023 | 1:57pm
Penjaga gol Liverpool, Alisson (kanan) meraikan kemenangan 2-1 ke atas Crystal Palace pada aksi Liga Perdana Inggeris di Selhurst Park, London malam tadi. – Foto REUTERS
Penjaga gol Liverpool, Alisson (kanan) meraikan kemenangan 2-1 ke atas Crystal Palace pada aksi Liga Perdana Inggeris di Selhurst Park, London malam tadi. – Foto REUTERS

Semangat, tidak putus asa ramuan Liverpool - Alisson

LONDON: Semangat juang dan sikap tidak mudah mengalah membantu Liverpool meraih kemenangan 2-1 ke atas Cyrstal Palace pada aksi Liga Perdana Inggeris malam tadi, kata penjaga gol Alisson.

Mohamed Salah menyumbat gol ke-200 buat Liverpool untuk memadamkan gol penalti Jean-Philippe Mateta, sebelum Harvey Elliott meledak gol kemenangan pada masa kecederaan bagi memastikan mereka pulang dengan tiga mata.

Liverpool, yang mendahului liga dengan 37 mata daripada 16 perlawanan, sudah bagaikan tabiat menjaringkan gol lewat dalam beberapa minggu kebelakangan ini, dengan jaringan Trent Alexander-Arnold membantu seri menentang juara bertahan Manchester City selain menang 4-3 ke atas Fulham.

"Kami merancang sebelum perlawanan – untuk bermula baik, kekal bertahan dan untuk menamatkannya dengan baik," kata Alisson semalam.

"Tetapi ini adalah bola sepak, ia satu permainan yang sukar dijangka dan kadang-kadang setiap apa yang anda lakukan tidak menjadi kerana banyak alasan dan anda tidak mempunyai masa ketika perlawanan untuk mengetahui apa yang silapnya.

Penjaga gol Liverpool, Alisson (kanan) menyelamatkan satu keadaan berbahaya pada hujung perlawanan menentang Crystal Palace dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Selhurst Park, London malam tadi. – Foto AFP
Penjaga gol Liverpool, Alisson (kanan) menyelamatkan satu keadaan berbahaya pada hujung perlawanan menentang Crystal Palace dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Selhurst Park, London malam tadi. – Foto AFP

"Anda perlu mengubahnya dalam sedetik dan kadang-kadang ia juga mengenai semangat. Kami mempunyainya pada hujung perlawanan, 20 minit terakhir, semangat juang tinggi daripada pemain kami, banyak tekanan terhadap lawan dan kami tidak putus asa. Kami mendapat ganjarannya dengan menjaringkan dua gol."

Liverpool berdepan ujian getir pada Disember dengan dua aksi liga berikutnya menyaksikan mereka menentang Manchester United dan Arsenal.

"Kami sedar kami mempunyai cabaran besar pada Disember, lawan besar," kata Alisson.

"Namun dalam Liga Perdana, semua perlawanan penting, ia mempunyai nilai yang sama. Apa yang penting adalah semangat yang anda suntik dalam perlawanan. Cabaran berikutnya paling penting jadi kami akan menghadapinya." – REUTERS

Berita Harian X