Sabtu, 9 Disember 2023 | 1:56pm
Pemain JDT Arif Aiman meraikan jaringan penaltinya pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil. - Bernama
Pemain JDT Arif Aiman meraikan jaringan penaltinya pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil. - Bernama

Bergson dedah punca berebut penalti dengan Arif Aiman

KUALA LUMPUR: Mesin gol Johor Darul Ta'zim (JDT), Bergson Da Silva mendedahkan punca dia 'berebut' dengan Arif Aiman Hanapi untuk mengambil sepakan penalti kedua Harimau Selatan ketika final Piala Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi.

Penyerang kelahiran Brazil itu menjelaskan pada awalnya dia 'berat' untuk membenarkan Arif mengambil sepakan penalti pada masa kecederaan itu kerana ia membabitkan perlawanan besar.

Bergson berkata, dia bukan tidak percaya kepada kemampuan Arif tetapi mahu mengelak pemain muda berusia 21 tahun itu 'dibunuh' dengan kecaman penyokong sekiranya gagal menyempurnakan sepakan penalti.

"Perlawanan sangat sukar, saya sayang dia (Arif). Dia masih muda, jika dia terlepas penalti itu dan lawan melakukan serangan serta menjaringkan gol, semua orang mungkin akan 'bunuh' (kecam) dia.

"Saya cuba ambil tanggungjawab itu kerana saya berlatih tendangan penalti dan saya berusia 32 tahun, ia perbezaan yang besar. Saya fikirkan mengenai pasukan dan Arif, tetapi syukur dia berjaya jaringkan gol.

"Saya sangat percayakan dia kerana dia pemain yang hebat. Namun, dalam situasi perlawanan seperti ini, sukar untuk pemain muda berusia 21 tahun melakukan sepakan penalti kerana ia risiko besar untuk dia jika terlepas peluang itu," katanya.

Terdahulu, Bergson meletakkan JDT di depan apabila menyempurnakan sepakan penalti pada minit keenam dan kelebihan itu dipadam penyerang Terengganu FC (TFC), Ivan Mamut juga menerusi penalti minit ke-21.

Pemain gantian, Feroz Baharudin kemudian meledak gol kedua JDT pada minit ke-73 sebelum Arif melengkapkan kemenangan 3-1 JDT, sekali gus membolehkan Harimau Selatan menjulang Piala Malaysia buat kali keempat selepas musim 2017, 2019 dan 2022.

Selain itu, Bergson turut mengakui gembira apabila dapat membantu JDT meraih gelaran 'double quadruple' atau memenangi empat piala dalam semusim buat kali kedua berturut-turut.

"Saya sangat gembira dengan satu lagi gelaran ini, sekarang ayuh tamatkan keseluruhan musim dan selepas itu kami boleh berehat. Apabila berada di sini, kami hanya mahu mencipta sejarah dan membuat penyokong bangga," katanya.

Berita Harian X