Sabtu, 9 Disember 2023 | 12:13pm
Keadaan padang Stadium Nasional sebelum sepak mula final Piala Malaysia antara JDT dan TFC malam tadi. - Foto Aswadi Alias
Keadaan padang Stadium Nasional sebelum sepak mula final Piala Malaysia antara JDT dan TFC malam tadi. - Foto Aswadi Alias

Padang Stadium Nasional lebih sesuai untuk main golf

KUALA LUMPUR: Ketua pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT), Jordi Amat menyifatkan keadaan padang di Stadium Nasional, Bukit Jalil yang rosak ketika ini lebih sesuai untuk permainan golf.

Bekas pemain Espanyol dan Swansea City itu menjelaskan pihak berwajib harus lebih peka pada masa akan datang untuk menyediakan padang terbaik terutama membabitkan perlawanan besar seperti final Piala Malaysia.

Dia berkata, bola sepak Malaysia berhak memiliki padang terbaik untuk memastikan setiap pemain atau pasukan boleh mempamerkan corak permainan bola sepak yang lebih berkualiti.

"Saya sangat terkejut selepas melihat padang yang mana ia hancur. Saya fikir Malaysia harus meningkatkan perkara ini kerana ia perlu untuk permainan bola sepak yang lebih baik.

"Ya, sudah pasti (padang menjejaskan permainan JDT). Saya sudah katakan ketika sidang media dan saya sangat marah apabila melihat keadaan padang.

"Bagi perlawanan akhir seperti ini, kita sepatutnya bermain atas padang yang lebih baik. Padang golf terbaik patut ada di sini," kata Amat kepada pemberita selepas perlawanan.

Pemain TFC, Ivan Mamut (kiri) diasak pemain JDT, Jordi Amat pada perlawanan Akhir Piala Malaysia 2023. - NSTP ASWADI ALIAS
Pemain TFC, Ivan Mamut (kiri) diasak pemain JDT, Jordi Amat pada perlawanan Akhir Piala Malaysia 2023. - NSTP ASWADI ALIAS

Meskipun beraksi di atas padang yang tidak sempurna, JDT bagaimanapun berjaya mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia selepas menewaskan Terengganu FC (TFC) 3-1, malam tadi.

Kejayaan itu menyaksikan Harimau Selatan melakar sejarah muncul pasukan pertama meraih 'double quadruple' selain menjadi pasukan yang berjaya menyamai rekod 'double treble' milik Kedah selepas 15 tahun.

Mengulas mengenai kejayaan JDT, Amat menganggap mereka berhak bergelar juara berdasarkan kesungguhan yang ditampilkan semua pemain hingga ke minit akhir permainan.

"Saya fikir kami berhak menang, kami menekan (lawan) hingga ke minit akhir. Kami melakukan tugas yang hebat, terus melawan dan berlari. Jadi sekarang ini masa untuk meraikan kejayaan," katanya.

Berita Harian X