Sabtu, 9 Disember 2023 | 7:47am
Pemain pertahanan Juventus, Federico Gatti (kanan) mengekang kemaraan penyerang Napoli, Victor Osimhen pada aksi Serie A Itali di Stadium Allianz, Turin awal pagi tadi. – Foto REUTERS
Pemain pertahanan Juventus, Federico Gatti (kanan) mengekang kemaraan penyerang Napoli, Victor Osimhen pada aksi Serie A Itali di Stadium Allianz, Turin awal pagi tadi. – Foto REUTERS

Gatti julang Juve ke puncak Serie A

TURIN, Itali: Pemain pertahanan Federico Gatti meraih gol kedua dalam dua perlawanan apabila Juventus menang 1-0 di laman sendiri ke atas juara bertahan Napoli awal pagi tadi untuk kembali merampas tangga teratas Serie A.

Pertahanan tengah itu melonjak tinggi sejurus selepas rehat untuk menanduk masuk gol tunggal perlawanan sengit antara dua kelab gergasi bola sepak Itali itu.

Kemenangan di Turin melonjak Juventus ke tangga teratas liga, sekalipun Inter Milan berpeluang untuk mengembalikan kelebihan dua mata apabila mereka melayan kunjungan Udinese malam ini.

"Menang malam ini amat penting kerana kami menjarakkan kedudukan dengan Napoli kepada 12 mata dan ia satu keputusan yang hebat," kata jurulatih Juventus, Massimiliano Allegri kepada DAZN.

"Bagi impian dan Scudetto, kami perlu terus meningkat langkah demi langkah, terutamanya apabila kami melakukan terlalu banyak kesilapan," katanya.

Pasukan tangga kelima Napoli lebih banyak menguasai babak awal dan kelihatan mampu memecah kebuntuan pada separuh masa pertama.

Matteo Politano berjaya membuat satu percubaan tepat ke arah gol Juve dan Khvicha Kvaratskhelia mempunyai peluang terbaik sebelum setengah jam.

Tuan rumah memulakan babak kedua lebih mantap dan Dusan Vlahovic merembat ke palang pada minit ke-49, susulan gerakan baik oleh Manuel Locatelli dan Weston McKennie.

Dua minit kemudian, Andrea Cambiaso menyambar bola muntah Napoli dan membuat hantaran lintang ke kawasan penalti untuk ditanduk masuk Gatti.

Ia gol kemenangan kedua berturut-turut pemain berusia 25 tahun itu buat Juventus, selepas jaringannya pada minit ke-94 di Monza minggu lalu. – AFP

Berita Harian X