Jumaat, 8 Disember 2023 | 7:04pm
Amirul Muhammad bersama gayanya yang istimewa bagi menyokong TFC pada final Piala Malaysia malam ini. - NSTP/SYAFIQ AZNAN
Amirul Muhammad bersama gayanya yang istimewa bagi menyokong TFC pada final Piala Malaysia malam ini. - NSTP/SYAFIQ AZNAN

'Penyu' tekad beri sokongan buat TFC

KUALA LUMPUR: Rupanya penyu bukan sahaja ada di Rantau Abang namun penyu turut 'mendarat' di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) bagi aksi final Piala Malaysia, malam ini.

Kelibat seorang penyokong Terengganu FC (TFC), Amirul Muhammad, 27, yang memikul patung penyu di belakang badannya mencuri tumpuan menjelang pertembungan TFC berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT), 9 malam ini.

Katanya, penyu itu sebagai satu simbolik memandangkan haiwan itu sudah sinonim dengan TFC.

Malah, semangat Amirul jelas membara untuk menyaksikan pasukannya beraksi apabila mula bertolak malam tadi dan tiba di SNBJ sekitar jam 4 pagi tadi.

"Saya cuba untuk menghiburkan penyokong TFC dan memeriahkan lagi aksi final malam ini. Saya teruja untuk menyaksikan TFC beraksi di pentas final malam ini," katanya.

Mengulas lanjut aksi final malam ini, Amirul optimis skuad bimbingan Tomislav Steinbruckner itu mampu mencipta kejutan sekali gus menjulang Piala Malaysia buat kali kedua selepas melakukannya pada 2001.

"Insya Allah TFC boleh menang 2-0 dan saya jangkakan gol dijaringkan oleh Ivan Mamut.

"Saya juga percaya TFC mampu menunjukkan permainan yang terbaik walaupun beraksi di atas permukaan padang yang tidak begitu cantik," katanya.

Berita Harian X