Jumaat, 8 Disember 2023 | 6:35pm
Khairul Ikhwan bersama Nurul Fatihah ketika ditemui di Stadium Nasional. - NSTP/ZULFAIZAN MANSOR
Khairul Ikhwan bersama Nurul Fatihah ketika ditemui di Stadium Nasional. - NSTP/ZULFAIZAN MANSOR

'Kami datang nak tengok padang, bola'

KUALA LUMPUR: Isu hangat membabitkan kerosakan padang di Stadium Nasional, Bukit Jalil menjadi antara 'tarikan' buat penyokong yang hadir menyaksikan final Piala Malaysia, malam ini.

Selain menyaksikan pertembungan antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Terengganu FC (TFC), terdapat juga penyokong yang hadir ke stadium untuk melihat dengan lebih dekat keadaan padang di venue itu selepas ia menjadi isu besar sejak beberapa hari lalu.

Penyokong JDT, Khairul Ikhwan Surayi, 27, menjelaskan kualiti padang menjadi antara perkara yang dia mahu lihat sendiri selepas menyaksikan keadaan padang Stadium Nasional menerusi gambar di media sosial.

Khairul yang hadir bersama isterinya, Nurul Fatihah Mataki, 22, berkata isu kerosakan itu mungkin menjejaskan persembahan kedua-dua pasukan yang berusaha untuk mendakap trofi Piala Malaysia.

Dia bagaimanapun tetap optimis bahawa JDT mampu melakar kemenangan ke atas TFC meskipun keadaan padang kurang baik.

"Saya jangka JDT akan menang 5-1. Namun, sekarang ini pun kita tak tahu pemain terpaksa bermain macam mana di atas padang kurang baik. Jangan rembat sekali sudah tercabut rumput.

"Betul, saya datang pun nak tengok kualiti padang selain menyaksikan pasukan JDT bermain. Kita harap malam ini tidak hujan kerana kita nak tengok pemain kedua-dua pasukan beraksi dengan baik," katanya ketika ditemui di Stadium Nasional, hari ini.

Sementara itu, penyokong TFC, Amirul Asyraff Mohd Razali turut mengakui keadaan semasa padang di Stadium Nasional merencatkan kehangatan final Piala Malaysia.

Dia berharap skuad Penyu dapat menampilkan persembahan terbaik untuk meraih kemenangan ke atas JDT dan menjulang Piala Malaysia selepas kali terakhir muncul juara kejohanan itu 22 tahun lalu.

"Sudah lama Terengganu tidak menang Piala Malaysia, harap kali ini TFC muncul juara. Walaupun padang tak berapa baik, tetapi harap semua pemain TFC boleh beraksi dengan baik," katanya.

Berita Harian X