Jumaat, 8 Disember 2023 | 5:21pm

Kemeriahan final Piala Malaysia makin terasa

KUALA LUMPUR: Berbaki lima jam sebelum sepak mula final Piala Malaysia, perkarangan Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) bagaikan 'dihurung semut' dengan kehadiran penyokong kedua-dua pasukan.

Dengan kedua-dua pasukan yang mara ke final Piala Malaysia berasal dari luar lembah Klang iaitu Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Terengganu FC (TFC), kedua-dua penyokong mengambil keputusan untuk hadir lebih awal.

Penyokong kedua-dua pasukan turut memakai jersi pasukan masing-masing sekali gus mencantikkan lagi pemandangan di SNBJ menjelang aksi final yang akan bermula jam 9 malam nanti.

Penyokong Harimau Selatan bergaya dengan jersi berwarna biru dan merah sementara penyokong skuad 'Penyu' dengan warna tradisi mereka, hitam dan putih.

Sebahagian daripada penyokong JDT yang hadir pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil. - NSTP/Eizairi Shamsudin
Sebahagian daripada penyokong JDT yang hadir pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Selain itu, penyokong juga bersemangat dengan bendera negeri masing-masing, pengikat kepala, mafla dan tidak lupa turut bersolidariti dengan membawa bendera Palestin.

Namun kebanyakan penyokong hanya berlegar-legar di perkarangan stadium memandangkan pintu masuk hanya dibuka sekitar jam 5 petang nanti.

Keadaan cuaca di sekitar SNBJ juga agak baik tetapi situasi lalu-lintas begitu teruk dengan kesesakan panjang berlaku di sekitar kawasan Kompleks Sukan Negara.

Ini berikutan bukan sahaja aksi final Piala Malaysia malah beberapa lagi acara lain turut berlangsung antaranya Piala Dunia Remaja Hoki serta Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI.

Sebahagian daripada penyokong Terengganu FC yang hadir pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil. - NSTP/Eizairi Shamsudin
Sebahagian daripada penyokong Terengganu FC yang hadir pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Sebahagian penyokong TFC memeriahkan suasana di pekarangan Stadium Nasional sebelum sepak mula malam ini. - NSTP/ZULFAIZAN
Sebahagian penyokong TFC memeriahkan suasana di pekarangan Stadium Nasional sebelum sepak mula malam ini. - NSTP/ZULFAIZAN
Berita Harian X