Jumaat, 8 Disember 2023 | 2:51pm
Aston Villa kendalian Unai Emery (kanan) akan melayan kunjungan Arsenal bimbingan Mikel Arteta (kiri) di Villa Park esok. - Foto REUTERS
Aston Villa kendalian Unai Emery (kanan) akan melayan kunjungan Arsenal bimbingan Mikel Arteta (kiri) di Villa Park esok. - Foto REUTERS

Arsenal, Emery bertemu, Man City cuba bangkit

LONDON: Cengkaman Arsenal di tangga teratas Liga Perdana Inggeris akan diuji oleh bekas pengendalinya, Unai Emery apabila pendahulu itu bertandang ke Aston Villa esok.

Jika The Gunner tercicir mata, Liverpool berpeluang memintas mereka dengan kemenangan ke atas Crystal Palace, manakala Manchester City mampu bangkit semula di Luton.

Ketika Emery tiba di Aston Villa pada Oktober 2022, pasukan baharunya hanya tiga mata di atas zon penyingkiran.

Kini mereka menghuni tangga ketiga liga menjelang pertemuan dengan Arsenal yang tampak mustahil untuk dimenangi sebelum ketibaannya.

Kemenangan 1-0 Villa ke atas City pada Rabu adalah keputusan paling besar kelab itu sejak beberapa tahun lalu, bukti keberkesanan perubahan dilakukan Emery di Villa Park.

Situasi berbeza dialami pengendali itu ketika menyertai Arsenal, apabila dia dipecat pada tahun 2019, di pertengahan musim keduanya di Emirates.

Pengendali City, Pep Guardiola menganggap Villa sebagai pencabar kejuaraan musim ini.

"Saya masih ingat bagaimana kami memulakan proses ini. Kami tewas kepada Leicester dan Arsenal di laman sendiri. Kami tidak boleh terus dibolosi lapan gol dalam dua perlawanan seperti itu.

"Ia adalah titik penting dalam pertemuan dengan pemain-pemain, memberi tumpuan kepada gaya permainan kami. Pemain-pemain memberi tindak balas dengan sangat baik," kata Emery.

Deretan tanpa kemenangan City bertambah kepada empat aksi liga selepas kekalahan di tangan Aston Villa. Juara treble itu ketinggalan enam mata di belakang Arsenal.

Liverpool kendalian Jurgen Klopp akan bertemu Crystal Palace esok dan berpeluang memintas Arsenal sekiranya pendahulu liga itu gagal menyaingi rentak Villa.

Jadual Liga Perdana Inggeris

Esok

Aston Villa mln Arsenal

Brighton mln Burnley

Crystal Palace mln Liverpool

Manchester United mln Bournemouth

Sheffield United mln Brentford

Wolves mln Nottingham Forest

Ahad

Everton mln Chelsea

Fulham mln West Ham

Luton mln Manchester City

Tottenham mln Newcastle

- AFP

Berita Harian X