Khamis, 7 Disember 2023 | 9:09pm
Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga pemilik Kelab Johor Darul Ta'zim (JDT), meninjau keadaan padang dan sesi latihan rasmi JDT menjelang Piala Malaysia 2023 akhir malam esok di Stadium Nasional Bukit Jalil. - BERNAMA

TMJ tinjau padang, risau pemain Harimau Malaya boleh cedera

KUALA LUMPUR: Pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim hadir sendiri meninjau keadaan padang Stadium Nasional, Bukit Jalil, hari ini.

Padang yang akan digunakan bagi pentas akhir Piala Malaysia antara JDT dan Terengganu FC (TFC), esok itu masih belum berada pada tahap terbaik susulan kerosakan yang berlaku selepas konsert Coldplay, 22 November lalu.

Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) dilihat hadir meninjau padang berkenaan ketika sesi latihan skuad Harimau Selatan di Stadium Nasional.

Menerusi satu komen di laman Instagram, malaysiafootballleague, TMJ menjelaskan keadaan semasa padang Stadium Nasional akan menjejaskan kualiti permainan kedua-dua pasukan.

Pasukan JDT menjalani sesi latihan rasmi menjelang aksi Piala Malaysia 2023 peringkat akhir malam esok di Stadium Nasional Bukit Jalil. Foto BERNAMA
Pasukan JDT menjalani sesi latihan rasmi menjelang aksi Piala Malaysia 2023 peringkat akhir malam esok di Stadium Nasional Bukit Jalil. Foto BERNAMA

Keadaan padang dan situasi ketika sesi latihan rasmi JDT menjelang Piala Malaysia 2023 akhir malam esok di Stadium Nasional Bukit Jalil. Foto BERNAMA
Keadaan padang dan situasi ketika sesi latihan rasmi JDT menjelang Piala Malaysia 2023 akhir malam esok di Stadium Nasional Bukit Jalil. Foto BERNAMA

Malah, mantan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) itu turut menyatakan kerisauan mengenai beberapa tonggak skuad kebangsaan yang berpotensi mendapat kecederaan beraksi di atas permukaan padang tidak rata.

"Main boleh main. Tetapi quality game akan low. Yang membimbangkan adalah pemain utama/pemain kebangsaan macam Corbin (Ong), Arif Aiman (Hanapi), Matthew Davies, Endrick Dos Santos, Shahrul Saad, dan Afiq Fazail cedera.

"(Risiko cedera) buku lali, peha, lutut dan groin oleh kerana padang tak rata. Bulan depan Piala Asia di Qatar," tulisnya.

Isnin lalu, TMJ yang juga penaja rumput baharu jenis Zeon Zoysia di Stadium Nasional memuat naik gambar terkini padang di gelanggang berkenaan yang dilihat masih rosak selepas konsert Coldplay.

Situasi itu mencetuskan kemarahan peminat bola sepak tempatan kerana padang berkenaan tidak bersedia sepenuhnya bagi aksi final Piala Malaysia.

Susulan daripada itu, Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), hari ini tampil membuat permohonan maaf kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan semua peminat bola sepak tanah air.

Berita Harian X