Khamis, 7 Disember 2023 | 9:07am
Pemain Aston Villa, Leon Bailey meraikan jaringan ketika aksi Liga Perdana Inggeris menentang Manchester City di Villa Park, Birmingham. - Foto AFP
Pemain Aston Villa, Leon Bailey meraikan jaringan ketika aksi Liga Perdana Inggeris menentang Manchester City di Villa Park, Birmingham. - Foto AFP

Villa jejas misi Man City

BIRMINGHAM: Aston Villa menjejaskan misi Manchester City dalam mengekalkan kejuaraan Liga Perdana Inggeris apabila Leon Bailey meledak gol kemenangan tuan rumah di Villa Park.

Jaringan babak kedua Bailey meletakkan skuad kendalian Unai Emery di tangga, manakala anak buah Pep Guardiola tergelincir ke tangga keempat.

City kini gagal merakam kemenangan dalam empat aksi liga dan ketinggalan enam mata di belakang pendahulu, Arsenal.

Selepas seri menentang Chelsea, Liverpool dan Tottenham, juara treble itu perlu menewaskan Villa untuk terus memburu The Gunners kendalian Mikel Arteta.

Musim lalu, mereka mengatasi jurang lapan mata dengan Arsenal pada minggu-minggu akhir untuk mempertahankan gelaran Liga Perdana Inggeris.

Pengendali Manchester City, Pep Guardiola. - Foto Reuters
Pengendali Manchester City, Pep Guardiola. - Foto Reuters

"Aston Villa lebih bagus. Mereka bermain dengan hebat, kami bergelut untuk mendapatkan rentak dan bermain lebih agresif.

"Kami tidak memenangi beberapa perlawanan lalu kerana itulah kualiti Liga Perdana Inggeris. Kami sedar tahap kami. Kami sedikit bergelut. Saya di sini untuk membantu mereka," kata Guardiola.

Kemenangan ke-14 berturut-turut Villa di laman sendiri dalam aksi liga membuktikan kejayaan Emery sejak dia menggantikan Steven Gerrard musim lalu.

Anak buah Emery kini menjadi pesaing dalam kelompok empat teratas dan kunjungan Arsenal pada Sabtu ini memberikan peluang buatnya, yang dipecat Arsenal pada tahun 2019, untuk membuktikan sesuatu kepada bekas kelabnya, yang hanya empat mata di depan mereka.

"Kami bermain dengan baik. Apabila berdepan Manchester City, anda perlu memanfaatkan peluang dan mengawal permainan. Kami mencipta peluang tetapi ia amat sukar," kata Emery yang meraih kemenangan pertama ke atas Guardiola selepas 14 percubaan.

City sudah dibolosi 10 kali dalam empat perlawanan sebelumnya, sekali gus memaksa Guardiola menurunkan John Stones di barisan tengah, dan pemain muda, Rico Lewis dalam kesebelasan utama yang menampilkan enam pemain pertahanan.

Villa memecah kebuntuan pada minit ke-74 apabila rembatan Bailey terkena Ruben Dias dan menewaskan Ederson. - AFP

Kapten Aston Villa, John McGinn (tengah) diasak pemain pertahanan City, Ruben Dias. - Foto AFP
Kapten Aston Villa, John McGinn (tengah) diasak pemain pertahanan City, Ruben Dias. - Foto AFP

Berita Harian X