Rabu, 6 Disember 2023 | 4:48pm
Pemain Terengganu FC, Liridon Krasniqi (kanan) pada sesi latihan menjelang perlawanan akhir Piala Malaysia 2023 menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. NSTP/GHAZALI KORI
Pemain Terengganu FC, Liridon Krasniqi (kanan) pada sesi latihan menjelang perlawanan akhir Piala Malaysia 2023 menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. NSTP/GHAZALI KORI

Kontrak Liridon bersama JDT sudah tamat, boleh beraksi di final Piala Malaysia

KUALA TERENGGANU: Tonggak tengah Terengganu FC (TFC), Liridon Krasniqi tidak lagi berstatus pemain pinjaman.

Pengesahan bekas pemain pinjaman kelab gergasi Liga Malaysia (Liga M) Johor Darul Ta'zim (JDT) itu dimaklumkan Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, Mohd Sabri Abas ketika ditanya mengenai status pemain itu.

Susulan itu 'arkitek' kelahiran Kosovo berusia 31 tahun itu kini menjadi pemain TFC sekali gus mendapat 'lesen' untuk beraksi pada aksi final Piala Malaysia berdepan JDT, Jumaat ini di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

"Ya betul pemain itu (Liridon Krasniqi) tidak lagi berstatus pemain pinjaman daripada JDT selepas kontraknya bersama bekas majikannya itu tamat pada 30 November lalu.

"Selepas kontraknya (Krasniqi) tamat pada hujung bulan lalu, kita sudah menawarkan kontrak kepadanya selama sebulan iaitu sehingga akhir bulan ini memandangkan TFC masih berbaki tiga perlawanan lagi termasuk final Piala Malaysia.

"Jadi dia (Krasniqi) boleh beraksi di pentas final nanti, tapi terpulang kepada percaturan ketua jurulatih, Tomislav Steinbruckner sama ada mahu menggunakan khidmatnya atau sebaliknya.

"Jika diturunkan saya harap pemain itu mampu memberikan impak yang positif buat pasukan dalam misi untuk membawa pulang trofi piala berprestij itu buat kali kedua di bumi Terengganu selepas kali terakhir pada 22 tahun lalu," katanya ketika dihubungi.

Terdahulu TFC melamar pemain naturalisasi kebangsaan itu pada awal musim ini bagi memantapkan lagi posisi tengah skuad itu.

Sehingga kini pemain yang sebelum ini kerap dikritik penyokong sendiri berikutan aksi tidak konsisten berjaya menjaringkan dua gol bersama skuad itu sepanjang Liga Super.

Berita Harian X