Rabu, 6 Disember 2023 | 2:19pm
Penyerang JDT, Fernando Forestieri giat menjalani latihan bagi persiapan menentang Terengganu FC dalam aksi final Piala Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Jumaat ini. Foto ihsan Johor Southern Tigers.
Penyerang JDT, Fernando Forestieri giat menjalani latihan bagi persiapan menentang Terengganu FC dalam aksi final Piala Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Jumaat ini. Foto ihsan Johor Southern Tigers.

JDT enggan dabik dada, waspada ancaman TFC

JOHOR BAHRU: Mampukah Johor Darul Ta'zim (JDT) mengulangi kejayaan membolot empat piala iaitu Piala Sultan Ahmad Shah, Piala FA, Liga Super dan Piala Malaysia tahun lalu tatkala hanya tinggal piala berprestij yang menjadi buruan terakhir musim ini?

Semuanya terletak kepada percaturan taktikal ampuh pengendali JDT, Esteban Solari bagi merealisasikan pemburuan kejuaraan 'quadruple' buat musim kedua berturut-turut apabila berdepan Terengganu FC dalam aksi final Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, Jumaat ini.

Apapun Solari tampak merendah diri dan menganggap final berdepan skuad kendalian Tomislav Steinbruckner begitu mencabar buat skuad Harimau Selatan.

Solari berkata, aksi final berbeza dengan saingan Liga Super memandangkan ia hanya diadakan satu perlawanan sahaja dan tempoh 90 minit permainan menjadi penentu siapa yang akan muncul pemenang.

"Ia perlawanan yang bakal diwarnai dengan permainan berintensiti tinggi dan saya lega selepas aksi menentang Sri Pahang, tempoh hari, tiada pemain yang mengalami kecederaan sekali gus membantu saya fokus membuat persiapan rapi untuk aksi final.

"Saya amat gembira dengan karakter setiap pemain yang menunjukkan kematangan apabila mereka pantas melupakan apa yang berlaku di Jepun (tewas 0-5 kepada Kawasaki dalam Liga Juara-Juara Asia)," katanya.

Dalam dua pertembungan membabitkan JDT dan Terengganu FC pada aksi liga, skuad bimbingan Solari melakar kemenangan dengan menewaskan skuad kendalian Tomislav Steinbruckner 2-0 pada aksi Sumbangsih, 29 Februari lalu dan menang lagi 3-1 di gelanggang lawan pada aksi 9 Jun lalu.

Solari menambah pertembungan di Bukit Jalil nanti yang juga gelanggang berkecuali buat skuad Harimau Selatan dan TFC dianggap sukar tetapi percaya pemain yang bakal diturunkan nanti bersedia untuk memberi persembahan terbaik.

"Apapun masih ada lagi ruang lagi yang harus diperbaiki menjelang aksi final," kata Solari.

Berita Harian X