Rabu, 6 Disember 2023 | 11:03am
Rakan sepasukan menjulang penyerang Inter Miami, Lionel Messi selepas memenangi aksi final Piala Liga-Liga menentang Nashville SC di Geodis Park, Nashville pada 19 Ogos lalu. – Foto AFP
Rakan sepasukan menjulang penyerang Inter Miami, Lionel Messi selepas memenangi aksi final Piala Liga-Liga menentang Nashville SC di Geodis Park, Nashville pada 19 Ogos lalu. – Foto AFP

Messi diiktiraf atlet terbaik majalah Time

LOS ANGELES: Lionel Messi dinamakan sebagai 'Atlet Terbaik Tahunan' bagi 2023 oleh majalah Time selepas musim mengagumkan diakhiri dengan anugerah Ballon d'Or kali kelapan serta perpindahan ke kelab Major League Soccer (MLS), Inter Miami.

Time menyatakan bintang Argentina itu mencetus impak transformasi dalam landskap sukan Amerika Syarikat (AS), yang secara sejarahnya lambat menerima sukan bola sepak.

"Tahun ini Lionel Messi berjaya melakukan sesuatu yang dilihat mustahil, apabila dia menandatangani bersama Inter Miami: mengubah AS kepada negara bola sepak," komen Time.

Messi, 36, melakukan penampilan sulung buat Miami pada Julai lalu susulan perpindahan dari Paris Saint-Germain (PSG).

Pemenang Piala Dunia itu turut menolak tawaran lumayan berpindah ke Arab Saudi sebaliknya membuka babak baharu karier di AS.

Pemenang Ballon d'Or lapan kali itu membuat impak segera mengubah nasib Miami, memainkan peranan utama membantu pasukan itu menang Piala Liga-Liga, pertandingan membabitkan kelab dari MLS dan liga utama Mexico.

Messi menamatkan kempen dengan 11 gol dalam 14 perlawanan bagi semua pertandingan, namun kecederaan menjelang hujung musim bermakna dia tidak mampu membantu Miami layak ke playoff.

Messi dipetik Time sebagai berkata, keutamaan pertamanya selepas PSG adalah kembali semula ke Barcelona tetapi perpindahan itu tidak menjadi kenyataan disebabkan masalah kewangan kelab.

"Saya cuba untuk kembali tetapi ia tidak terjadi," kata Messi, menambah dia turut "banyak memikirkan" untuk menyertai kebanjiran pemain luar yang menuju ke Liga Pro Saudi.

"Ia Arab Saudi atau MLS dan kedua-dua pilihan dilihat amat menarik buat saya," kata Messi kepada majalah itu.

Time berkata, kehadiran Messi mendorong kedatangan penonton, harga tiket, jualan barangan cenderahati dan jumlah tontonan, mendedahkan pada hari penampilan sulungnya, langganan Apple TV - yang mengekalkan hak eksklusif untuk MLS – melonjak sebanyak 110,000, peningkatan 1,700 peratus berbanding hari sebelumnya. – AFP

Berita Harian X