Rabu, 6 Disember 2023 | 9:12am
Pep Guardiola (gambar kecil) percaya Manchester City boleh memenangi kejuaraan EPL musim ini. – Foto AGENSI
Pep Guardiola (gambar kecil) percaya Manchester City boleh memenangi kejuaraan EPL musim ini. – Foto AGENSI

City akan menang liga sekali lagi - Guardiola

MANCHESTER, England: Bos Manchester City, Pep Guardiola berasa yakin pasukannya akan memenangi kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) bagi rekod tahun keempat berturut-turut sekalipun seri tiga aksi terakhir mereka.

Juara bertahan itu berada di tangga ketiga, satu mata di belakang Liverpool dan enam mata di belakang pendahulu Arsenal yang mengatasi Luton Town 4-3 awal pagi tadi.

"Perasaan saya hari ini kami akan memenangi Liga Perdana," kata Guardiola kepada wartawan menjelang aksi City menentang pasukan tangga keempat Aston Villa kendalian Unai Emery awal pagi esok.

"Jika kami bermain di tahap Liverpool atau Tottenham kami akan melakukannya sekali lagi.

"Orang tidak mempercayainya selepas tiga seri, tetapi kami akan melakukannya sekali lagi. Kami sedar ia tidak mudah, belum ada pasukan yang melakukannya (empat kejuaraan EPL berturut-turut) dan itulah sebabnya ia sukar."

City terikat 3-3 di laman sendiri dengan Spurs Ahad lalu selepas seri 1-1 dengan Liverpool dan 4-4 di Chelsea.

Guardiola berkata, beliau bimbang mengenai gol yang dibolosi tetapi statistik sama berbanding musim lalu, apabila City memenangi tiga kejuaraan - EPL, Liga Juara-Juara dan Piala FA.

"Saya menyatakan purata peluang gol dibolosi lebih rendah kecuali daripada perlawanan dengan Chelsea. Perlawanan lain pada tahap sama seperti musim lalu apabila kami memenangi banyak kejuaraan," katanya.

Guardiola berkata, pertahanan England, John Stones sedia untuk diturunkan selepas pulih daripada kecederaan, kemungkinan sebagai pemain tengah bertahan di tempat Rodri yang digantung perlawanan, manakala Jeremy Doku berdepan ujian kecergasan.

City turut kehilangan Jack Grealish yang digantung bagi perlawanan di Villa, yang menang 13 perlawanan liga terakhir mereka di gelanggang sendiri. – REUTERS

Berita Harian X