Rabu, 6 Disember 2023 | 8:32am
Erik ten Hag berdepan tekanan memuncak di Manchester United susulan permulaan terumbang-ambing dalam semua pertandingan musim ini. – Foto AFP
Erik ten Hag berdepan tekanan memuncak di Manchester United susulan permulaan terumbang-ambing dalam semua pertandingan musim ini. – Foto AFP

Ten Hag gesa United jangan pecatnya

LONDON: Erik ten Hag menggesa pengurusan tertinggi Manchester United supaya yakin terhadapnya ketika rekod membuktikan beliau pengurus tepat untuk mengubah nasib kelab bermasalah itu.

Ten Hag berdepan tekanan susulan permulaan terumbang-ambing musim ini yang bermula dengan harapan tinggi selepas bos dari Belanda itu mengemudi United meraih trofi pertama mereka dalam tempoh enam tahun musim lalu.

Sesudah menjuarai Piala Liga, layak ke final Piala FA dan berakhir di tangga ketiga Liga Perdana Inggeris (EPL), Ten Hag dijangka mampu mengemudi mereka mencabar kejuaraan liga.

Namun sebaliknya, kekalahan 1-0 di Newcastle Sabtu lalu adalah kekalahan ke-10 United dalam 21 perlawanan bagi semua pertandingan, meninggalkan mereka lima mata di belakang kelompok empat teratas EPL.

United, yang menanti kunjungan Chelsea awal pagi esok, turut berdepan bahaya tersingkir daripada Liga Juara-Juara apabila mereka menentang Bayern Munich pada aksi terakhir peringkat kumpulan minggu depan.

Lebih memburukkan masalah Ten Hag, laporan menyebut separuh daripada pemain United kecewa dengan sesi latihan keras kendaliannya selain disiplin terlalu ketat.

United berang kerana tidak diberi peluang untuk menjelaskan mengenai laporan itu.

Ten Hag tampil mempertahankannya apabila beliau berdepan media awal pagi tadi, menegaskan beliau boleh membuktikan kepada pemilik United, keluarga Glazer mereka tepat apabila mendapatkan khidmatnya tahun lalu.

"Sering kali ada masa sukar dalam setiap perjalanan. Kami berada di laluan yang tepat," katanya.

"Saya tahu kami akan berada di tempat yang kami mahukan. Kerana... lihat rekod saya.

"Di mana saja saya berada, setiap musim, saya memenuhi sasaran saya, jadi jika kami bersatu, kekal dengan perancangan dan strategi, kami akan berada di tempat yang kami mahukan."

Ten Hag mengurus Go Ahead Eagles dan Utrecht sebelum menyinar di Ajax sekali gus meraih perpindahan ke Old Trafford.

Jurulatih berusia 53 tahun itu menang tiga kejuaraan liga ketika mengendalikan kelab gergasi Belanda itu, selain mengemudi kemaraan ke separuh akhir Liga Juara-Juara pada tahun 2019. – AFP

Berita Harian X