Selasa, 5 Disember 2023 | 9:34pm
Keadaan padang Stadium Nasional di Kompleks Sukan Kuala Lumpur, Bukit Jalil Oktober lalu. - NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Keadaan padang Stadium Nasional di Kompleks Sukan Kuala Lumpur, Bukit Jalil Oktober lalu. - NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI

Mustahil tukar gelanggang final Piala Malaysia

KUALA LUMPUR: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) tiada pilihan lain selain terpaksa meneruskan aksi final Piala Malaysia antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Terengganu FC (TFC), Jumaat ini di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Mustahil untuk aksi itu dipindahkan ke venue lain di saat akhir selepas pelbagai persiapan awal sudah dilakukan terutama tiket perlawanan mengikut kapasiti stadium berkenaan juga sudah terjual.

Stadium Shah Alam tidak boleh digunakan, bermakna tiada lagi stadium lain di Lembah Klang yang mampu untuk menampung kapasiti seperti Stadium Nasional.

Malah, penyokong kedua-dua pasukan juga pasti sudah membuat persiapan termasuk ada yang menempah tiket penerbangan atau hotel untuk hadir ke Bukit Jalil.

Pemerhati sukan tempatan, Mohd Sadek Mustafa menyifatkan perlawanan itu tetap perlu diteruskan di Stadium Nasional walaupun jika keadaan padang di gelanggang itu tidak berada pada tahap terbaik.

Beliau yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam menganggap Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) tidak belajar daripada kesilapan lalu apabila mengadakan konsert besar di gelanggang keramat Harimau Malaya itu hingga memberi kesan kepada kualiti padang.

Katanya, isu kerosakan padang yang berlaku amat mengecewakan terutama selepas rumput baharu jenis Zeon Zoysia itu adalah pemberian daripada pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

"Sekarang ini tiket sudah terjual, bagaimana nak tukar venue? Kalau nak main dekat Johor (Stadium Sultan Ibrahim) hanya kapasiti 40,000 sahaja. Jadi kedua-dua pasukan kena hadap sekiranya terpaksa bermain atas padang yang kurang baik.

"Jika dahulu ada pilihan di Stadium Shah Alam, tetapi sekarang ini tiada pilihan stadium yang mempunyai kapasiti sebesar Stadium Nasional.

"PSM seperti mencurah pasir dalam periuk nasi sendiri dan perkara itu amat mengecewakan. Mereka juga seolah-olah menganaktirikan sukan tempatan. Selepas ini kalau nak buat konsert lagi, buatlah di tempat lain seperti Axiata Arena," katanya kepada BH Sukan.

Masalah permukaan padang di Stadium Nasional sekali lagi menjadi isu hangat selepas Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) berkongsi keadaan terkini padang berkenaan di laman sosial miliknya, kelmarin.

Berdasarkan gambar yang dikongsikan Tunku Ismail di laman Twitter miliknya, keadaan padang yang rosak selepas konsert Coldplay, bulan lalu tampak masih belum pulih sepenuhnya.

Berita Harian X