Selasa, 5 Disember 2023 | 6:32pm
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) Stuart Ramalingam. - BERNAMA
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) Stuart Ramalingam. - BERNAMA

MFL akan buat pemeriksaan padang Stadium Nasional

KUALA LUMPUR: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) akan melakukan pemeriksaan terlebih dahulu terhadap padang Stadium Nasional, Bukit Jalil sebelum memaklumkan tindakan lanjut mengenai aksi final Piala Malaysia, Jumaat ini.

Permukaan padang di Stadium Nasional didakwa belum berada pada tahap terbaik susulan kerosakan selepas konsert Coldplay, bulan lalu.

Keadaan terkini padang berkenaan dikongsikan pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menerusi laman media sosial miliknya, semalam.

Berdasarkan gambar yang dikongsikan Tunku Ismail di laman Twitter miliknya, keadaan padang yang rosak tampak masih belum baik sepenuhnya.

Situasi itu mencetuskan tanda tanya dalam kalangan peminat bola sepak tempatan menjelang pertembungan perebutan Piala Malaysia antara JDT dan Terengganu FC (TFC) yang dijadual berlangsung di gelanggang itu.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Stuart Ramalingam berkata: "Kita akan mengadakan pemeriksaan terlebih dahulu terhadap padang Stadium Nasional dan akan memaklumkan tindakan lanjut kemudian".

Pada 24 November lalu, BH Sukan melaporkan padang Stadium Nasional rosak angkara konsert Coldplay selepas Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) memuat naik gambar keadaan permukaan padang stadium terbabit di laman Instagram miliknya.

Susulan daripada itu, Ketua Pegawai Eksekutif PSM, Mohd Faidz Sanusi dilaporkan berkata, pihaknya akan melakukan kerja membaik pulih dengan kadar segera untuk digunakan bagi final Piala Malaysia.

Untuk rekod, padang baharu Stadium Nasional yang menggunakan rumput baharu jenis Zeon Zoysia adalah tajaan daripada TMJ dengan ia digunakan secara rasmi pada Pestabola Merdeka 2023, Oktober lalu.

Berita Harian X