Selasa, 5 Disember 2023 | 10:08am
Jude Bellingham bangga bersama trofi dimenanginya pada majlis Golden Boy di Turin, Itali awal pagi tadi. – Foto X Golden Boy
Jude Bellingham bangga bersama trofi dimenanginya pada majlis Golden Boy di Turin, Itali awal pagi tadi. – Foto X Golden Boy

Bellingham raih anugerah 'budak emas'

TURIN, Itali: Erling Haaland dan Jude Bellingham meraikan kejayaan individu awal pagi tadi selepas merangkul anugerah peribadi pada majlis gala Golden Boy di Itali.

Bellingham, pemain tengah England dan Real Madrid, dinobat sebagai pemenang anugerah Golden Boy yang mengiktiraf pemain muda lelaki paling mengagumkan dalam tempoh kalendar setahun.

Bellingham menyinar sejak menyertai Madrid dengan harga £115 juta (RM678 juta) pada musim panas lalu dari Borussia Dortmund, menyumbat 15 gol dalam semua pertandingan setakat ini dan memecahkan rekod Cristiano Ronaldo bagi gol terbanyak dijaringkan seorang pemain dalam 15 perlawanan pertama di kelab gergasi Sepanyol itu.

Pemain berusia 20 tahun itu sudah dianggap sebagai salah seorang pemain tengah terbaik di dunia dan pencapaian awal pagi tadi membuktikan penghormatan tertinggi diraihnya.

Sementara itu, penjaring gol Manchester City, Erling Haaland mengatasi Lionel Messi untuk merangkul anugerah Golden Man susulan eksploitasinya yang membantu kelab itu meraih pencapaian treble musim lalu.

Musim sulung sensasi Haaland di Manchester menyaksikannya meledak 52 gol dalam 53 perlawanan buat pasukan kendalian Pep Guardiola termasuk menjaringkan gol terbanyak dalam satu kempen Liga Perdana Inggeris.

Erling Haaland bersama anugerah Golden Man yang dimenanginya. – Foto Instagram Erling Haaland
Erling Haaland bersama anugerah Golden Man yang dimenanginya. – Foto Instagram Erling Haaland

Majlis itu turut meraikan permainan bola sepak wanita dengan pemain tengah Barcelona, Aitana Bonmati diiktiraf sebagai pemain terbaik wanita.

Pemain berusia 25 tahun itu memenangi Liga Juara-Juara Wanita bersama kelab Catalunya itu sebelum menjuarai Piala Dunia Wanita bersama Sepanyol.

Bellingham berkata: "Saya amat berterima kasih kepada setiap orang yang saya temui sepanjang perjalanan untuk membantu saya mencapai tahap saya sekarang.

"Ia mengenai usaha untuk menjadikan pasukan dan negara saya pasukan terbaik di dunia dan untuk menjadi pemain terbaik di dunia anda perlu membantu pasukan anda menang dan menyertai senarai itu satu penghormatan yang besar.

"Saya rasa Wayne Rooney mungkin pengaruh terbesar saya ketika membesar, jelas sekali beliau dari England dan cara beliau bermain, cara beliau berjuang, tetapi ada juga ramai pemain lain yang saya contohi."

Haaland tidak menghadiri majlis itu tetapi menyiarkan pandangannya dalam media sosial selain menyifatkan pencapaiannya sebagai 'satu penghormatan'. – AGENSI

Berita Harian X