Isnin, 4 Disember 2023 | 9:05am
Pemain Chelsea, Enzo Fernandez meledak gol ketiga pasukannya menerusi sepakan penalti ketika menentang Brighton pada aksi Liga Perdana Inggeris di Stamford Bridge, London lewat malam tadi. – Foto REUTERS
Pemain Chelsea, Enzo Fernandez meledak gol ketiga pasukannya menerusi sepakan penalti ketika menentang Brighton pada aksi Liga Perdana Inggeris di Stamford Bridge, London lewat malam tadi. – Foto REUTERS

Pochettino kagum pemain muda Chelsea menyinar

LONDON: Setakat ini musim ini Chelsea dianggap sebagai pasukan dalam pembinaan tetapi satu perkara yang pasti ia tidak boleh lagi dipanggil sebagai membosankan - kemenangan 3-2 lewat malam tadi dengan 10 pemain ke atas Brighton menyaksikan mereka mengumpul 23 gol dalam empat perlawanan terakhir.

Apabila wisel penamat ditiup dalam cuaca hujan lebat musim sejuk di Stamford Bridge, pemain dan staf kejurulatihan meluru ke dalam padang dalam kelegaan meraikan kemenangan selepas pelawat menekan The Blues sepanjang aksi dalam satu lagi perlawanan bagaikan 'roller-coaster'.

Dua belas gol yang disumbat anak buah Mauricio Pochettino dalam empat perlawanan terakhir mereka - menentang Tottenham Hotspur, Manchester City, Newcastle United dan Brighton - meningkatkan keyakinan dalam kalangan penyokong The Blues kemarau berpanjangan di jentera serangan sudah berakhir.

Namun 11 gol yang dibolosi mereka membuktikan betapa Chelsea masih jauh ketinggalan di belakang pasukan elit Liga Perdana Inggeris.

"Ya, kami bolos tetapi untuk menang anda perlu menjaringkan gol. Ia sesuatu yang menghiburkan, itulah bola sepak. Orang suka menonton dua pasukan menyerang beraksi," kata Pochettino kepada wartawan.

"Sudah tentu, saya mahu menjaringkan 10 gol dan tidak dibolosi langsung tetapi jika anda mahu menyerang, kadang-kadang anda perlu mengambil risiko sekali gus membolehkan lawan mencipta peluang. Tetapi ia mengenai kemenangan," katanya.

Chelsea dilihat kembali selesa melakar nota kemenangan selepas dibelasah 4-1 oleh Newcastle hujung minggu lalu apabila Enzo Fernandez dan Levi Colwill kedua-duanya menjaringkan gol sulung liga buat kelab itu pada minit ke-17 dan ke-21.

Pemain Chelsea, Conor Gallagher (kanan) dibuang padang selepas dilayangkan kad merah susulan menerima dua kad kuning pada aksi Liga Perdana Inggeris menentang Brighton di Stamford Bridge, London lewat malam tadi. – Foto REUTERS
Pemain Chelsea, Conor Gallagher (kanan) dibuang padang selepas dilayangkan kad merah susulan menerima dua kad kuning pada aksi Liga Perdana Inggeris menentang Brighton di Stamford Bridge, London lewat malam tadi. – Foto REUTERS

Satu jaringan lencong menarik pelawat daripada Facundo Buonanotte dan kad kuning kedua kapten Chelsea, Conor Gallagher sejurus sebelum rehat jelas mengancam kedudukan tuan rumah.

Jaringan Fernandez menerusi penalti pada minit ke-65 mengembalikan kelebihan dua gol buat The Blues, sebelum gol lewat tandukan Joao Pedro mencetus debaran minit-minit terakhir termasuk sepakan penalti buat Brighton yang tidak diberikan selepas reviu VAR.

Pochettino memuji pemain mudanya kerana menangani cabaran bermain separuh perlawanan itu dengan 10 pemain, sekalipun beliau berasakan Gallagher tidak berhak dilayangkan kad kuning kedua kerana terjahan dari belakang ke atas bekas pemain Chelsea, Billy Gilmour.

"Saya beritahu mereka ketika rehat... saya gembira ia berlaku kerana ia satu peluang hebat buat kami," katanya.

"Ia satu cabaran besar. Ayuh, kini kami perlu membuktikan kami sebagai satu pasukan. Ia satu perkara yang pasti akan membantu peningkatan kami."

Chelsea, yang ketinggalan 10 mata di belakang kelompok empat teratas di tangga ke-10, berdepan Manchester United di gelanggang lawan awal pagi Khamis ini. – REUTERS

Berita Harian X