Ahad, 3 Disember 2023 | 11:27pm
Antara aksi Perak FC berdepan Sabah FC di Stadium Perak, sebentar tadi. Foto Perak Football Club
Antara aksi Perak FC berdepan Sabah FC di Stadium Perak, sebentar tadi. Foto Perak Football Club

Sabah FC 'kejar' KDA FC

KUALA LUMPUR: Sabah FC terus cemerlang dengan lima kemenangan berturut-turut dalam Liga Super apabila meraih kemenangan 1-0 ke atas Perak FC di Stadium Perak, sebentar tadi.

Jaringan Park Tae Su ketika perlawanan memasuki hujung permainan memastikan mereka pulang dengan tiga mata sekali gus kini hanya dua mata ketinggalan di belakang Kedah Darul Aman (KDA) FC yang berada di tangga ketiga.

Keputusan itu turut menghadiahkan kekalahan ke-15 buat Perak FC dalam saingan liga musim ini.

Pada aksi terbabit, Perak FC menyerap asakan Sabah FC dengan baik dan beberapa kali berjaya mematahkan gerakan yang dilancarkan pelawat untuk memburu gol pembukaan.

Gawang Perak FC terselamat pada minit ke-14 meskipun T Shaheeswaran sudah tertewas namun percubaan Miguel Cifuentes dikeluarkan pemain Perak FC di hadapan gawang gol mereka.

Khairul Fahmi Che Mat terpaksa keluar untuk menepis hantaran lintang Luciano Guaycochea daripada disambar mana-mana pemain Perak FC di dalam kotak penalti pada minit ke-31.

Cifuentes sekali lagi terlepas peluang meledak gol pembukaan pada minit ke-42 apabila tandukannya melewati palang selepas Shaheeswaran gagal menyelamatkan hantaran lintang Saddil Ramdani dengan baik.

Bersambung babak kedua, kedua-dua terus mengasak untuk mendapatkan gol namun tidak mencukupi untuk merobek gawang masing-masing.

Ketika perlawanan berbaki enam minit, Taesu memastikan kunjungan mereka ke Ipoh berbaloi selepas meledak gol kemenangan Sabah FC pada minit ke-84.

Berita Harian X