Ahad, 3 Disember 2023 | 10:34pm
Antara aksi menarik Sri Pahang menentang JDT di Stadium Darul Makmur. - Foto ihsan Sri Pahang FC
Antara aksi menarik Sri Pahang menentang JDT di Stadium Darul Makmur. - Foto ihsan Sri Pahang FC

JDT kecewakan Sri Pahang

KUANTAN: Johor Darul Ta'zim (JDT) membuktikan mereka kelab bola sepak terbaik di negara ini selepas menewaskan Sri Pahang FC 2-0 pada aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur, sebentar tadi.

Kemenangan skuad kendalian Esteben Solari itu juga mengekalkan rekod tanpa kalah Harimau Selatan dalam saingan berkenaan musim ini.

Pada perlawanan itu, aksi cemerlang JDT bermula seawal minit keenam apabila rembatan dari luar kotak penalti Heberty Fernandes berjaya menewaskan penjaga gol Tok Gajah, Zarif Irfan Hashimuddin.

Selepas itu, Juan Muniz hampir menjaringkan gol kedua buat Harimau Selatan tetapi bola rembatannya sedikit melepasi palang tuan rumah pada minit ke-19.

Pada minit ke-34, penyerang import tuan rumah, Kpah Sherman memiliki peluang untuk menjaringkan gol penyamaan walaupun berhadapan penjaga gol JDT, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed tetapi gagal melakukan penyudah.

Selang seminit, Heberty memiliki peluang untuk menjaringkan gol kedua peribadi tetapi bola rembatan melepasi palang.

Namun, tiga minit sebelum berakhir separuh masa pertama, Bergeson Gustavo menjaringkan gol kedua untuk meletakkan JDT selesa mendahului Sri pahang 2-0.

Bersambung babak kedua, JDT nyata lebih menguasai permainan dengan melakukan serangan berbahaya ke kubu tuan rumah.

Peluang terbaik Harimau Selatan hadir pada minit ke-60 hasil sentuhan Arif Aiman Hanapi tetapi bola tendangan pemain muda itu tersasar di sebelah kiri tiang gol Sri Pahang.

Kpah juga memiliki peluang untuk membolosi gawang JDT tetapi penyerang import dari Liberia itu gagal melakukan penyudah tepat pada minit ke-71 yang menyaksikan lawan membawa pulang tiga mata manakala tuan rumah terpaksa akur tewas di halaman sendiri.

Berita Harian X