Sabtu, 2 Disember 2023 | 1:04pm
Penyerang Arsenal, Kai Havertz sudah menjaringkan dua gol dalam dua penampilan terakhirnya. - Foto AGENSI
Penyerang Arsenal, Kai Havertz sudah menjaringkan dua gol dalam dua penampilan terakhirnya. - Foto AGENSI

Havertz kini lebih tajam - Arteta

LONDON: Penyerang Arsenal, Kai Havertz kini semakin yakin dan mula menikmati permainannya selepas permulaan yang sukar, kata pengendali pasukan, Mikel Arteta.

Pemain Jerman, Havertz yang dibeli dari Chelsea pada musim panas lalu, bergelut dalam beberapa bulan pertama tetapi sudah menjaringkan dua gol dalam dua penampilan terakhirnya, termasuk gol kemenangan minit ke-89 ketika menentang Brentford pada Sabtu lalu.

"Semuanya sudah mula membuahkan hasil. Dia mula menunjukkan keberkesanan di depan gawang.

"Dia sangat positif dan memberi pengaruh positif kepada rakan sepasukan. Jelas keyakinannya semakin meningkat.

"Apabila anda rasa disayangi, dihormati dan dipuja, semuanya akan menjadi lebih mudah. Tenaga anda juga bertambah, saya yakin itu yang dia rasa sejak beberapa hari lalu," kata Arteta berkenaan Havertz.

Dengan pesaing terdekat kejuaraan, Manchester City dan Liverpool hanya akan bermain esok, Arsenal berpeluang menjarakkan diri di puncak Liga Perdana Inggeris kepada empat mata jika berjaya menewaskan Wolverhampton Wanderers malam ini.

Bagaimanapun Arteta tidak mahu terlalu yakin, tambahan pula Wolves berjaya menewaskan City dan Tottenham Hotspur musim ini.

"Fokus utama kami ialah memahami apa yang perlu dilakukan untuk memenangi perlawanan ini. Wolves mempunyai banyak kualiti. Mereka beraksi cemerlang menentang pasukan lebih kelompok atas," katanya. - AGENSI

Berita Harian X