Sabtu, 2 Disember 2023 | 12:26pm
Ayron Del Valle (kiri) dan Ifedayo Olusegun.
Ayron Del Valle (kiri) dan Ifedayo Olusegun.

Aksi 'final' Kedah-Selangor

KUALA LUMPUR: Bahang pertembungan antara Kedah Darul Aman (KDA) dan Selangor di Stadium Darul Aman, malam ini diibaratkan sebagai aksi 'final' buat kedua-dua pasukan itu.

Apa yang menariknya, ia pertemuan dua pasukan yang memiliki nama besar dalam bola sepak Malaysia, sekali gus menghangatkan persaingan di penghujung musim selepas Johor Darul Ta'zim (JDT) mengesahkan kejuaraan Liga Super lebih awal.

Selain bakal menjadi penentu gelaran naib juara Liga Super, keputusan perlawanan Selangor dan KDA juga akan mempengaruhi pasukan mana yang lebih berhak meraih tiket ke pertandingan peringkat Asia tahun hadapan.

Hanya kemenangan akan mengesahkan gelaran naib juara Liga Super buat Selangor dan seandainya seri atau tewas, Gergasi Merah perlu menunggu aksi terakhir berdepan PDRM, 17 Disember ini.

KDA berdepan laluan lebih sukar kerana jika berjaya menewaskan Selangor sekali pun, mereka tetap perlu mengatasi pasukan yang baru meraih tiket ke separuh akhir zon ASEAN Piala AFC, Sabah di Stadium Likas.

Justeru, kelebihan tampak lebih memihak kepada Selangor yang sangat mengimpikan untuk meraih tiket ke pertandingan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Berdasarkan rekod lima pertembungan terakhir, Gergasi Merah juga memenangi tiga daripada perlawanan itu dengan mereka pernah mengalahkan Kedah 4-2 di Stadium Darul Aman pada 2021.

Sukar untuk meramalkan siapa yang boleh meraih kemenangan, malam ini, jika melihat kepada prestasi yang agak seimbang dipamerkan kedua-dua pasukan itu dalam Liga Super musim ini meskipun Selangor menewaskan KDA 3-2 di laman sendiri, Mei lalu.

Dua penggempur berbisa, Ayron Del Valle (Selangor) dan Ifedayo Olusegun (KDA) dilihat menjadi antara tumpuan utama seluruh peminat bola sepak tanah air dalam perlawanan itu.

Hadir selaku pendahulu carta penjaring terbanyak Liga Super ketika ini dengan 22 gol, Ayron pastinya mahu menambah jumlah itu untuk merebut anugerah kasut emas.

Situasi itu menyaksikan barisan pertahanan Sang Kenari harus memberi lebih tumpuan terhadap kelibat penyerang dari Colombia itu jika tidak mahu mereka berdepan kekecewaan di gelanggang sendiri.

Ifedayo pula menjadi sandaran penting KDA dengan bekas penyerang Selangor yang pernah muncul penjaring terbanyak Liga Super 2020 dan 2021 itu sudah meledak 12 gol meskipun menyertai Sang Kenari pada pertengahan musim.

Berita Harian X