Sabtu, 2 Disember 2023 | 7:44am
Pemain Juventus, Federico Gatti menjaringkan gol ketika aksi Serie A menentang Monza di Stadium Brianteo, Monza. - Foto REUTERS
Pemain Juventus, Federico Gatti menjaringkan gol ketika aksi Serie A menentang Monza di Stadium Brianteo, Monza. - Foto REUTERS
Penjaga gol Monza, Michele Di Gregorio meraikan kejayaannya selepas menyelamatkan sepakan penalti pemain Juventus, Dusan Vlahovic dalam aksi Serie A di Stadium Brianteo, Monza. - Foto REUTERS
Penjaga gol Monza, Michele Di Gregorio meraikan kejayaannya selepas menyelamatkan sepakan penalti pemain Juventus, Dusan Vlahovic dalam aksi Serie A di Stadium Brianteo, Monza. - Foto REUTERS

Juventus akhiri rekod cemerlang Monza

MONZA, Itali: Juventus mengakhiri rekod tanpa kalah Monza di laman sendiri dalam saingan Serie A musim ini dengan kemenangan 2-1 yang melonjakkan mereka ke tangga teratas liga.

Jaringan minit ke-94 Federico Gatti membolehkan Juventus memintas Inter Milan di puncak liga, sekali gus mengecewakan Monza yang tiga minit sebelum itu seakan mampu berkongsi mata hasil jaringan penyamaan Valentin Carboni.

Aksi menarik di Stadium Brianteo bermula pada minit kesembilan, apabila Georgios Kyriakopoulos menarik jersi Federico Chiesa dan memberikan sepakan penalti kepada Juventus.

Sepakan lemah Dusan Vlahovic mudah diselamatkan Michele Di Gregorio, yang kemudian menafikan percubaan susulan di atas garisan gol.

Juventus bagaimanapun memanfaatkan sepakan sudut pada minit ke-12 yang ditanduk oleh Rabiot untuk gol pembukaan.

Gatti hampir menambah jaringan juga menerusi sepakan sudut pada minit ke-30, namun percubaan pertahanan itu melepasi palang.

Tuan rumah menguasai permainan di babak kedua, tetapi gagal memberi ancaman kepada gawang Juventus yang dikawal rapi Wojciech Szczesny.

Perlawanan kembali rancak apabila pemain gantian, Carboni melencongkan bola untuk gol penyamaan Monza pada minit pertama masa kecederaan.

Kegembiraan penyokong tuan rumah tidak bertahan lama apabila Gatti meledak gol kemenangan pelawat tiga minit kemudian.

Inter Milan yang ketinggalan satu mata di belakang Juve, boleh merampas semula teraju liga dengan menewaskan juara bertahan, Napoli malam ini. - AFP

Berita Harian X