Jumaat, 1 Disember 2023 | 3:03pm
Nafuzi memberi semangat kepada pemainnya ketika sesi latihan menjelang aksi getir menentang Selangor malam esok. - Foto KDA FC
Nafuzi memberi semangat kepada pemainnya ketika sesi latihan menjelang aksi getir menentang Selangor malam esok. - Foto KDA FC

Nafuzi harap aura Stadium Darul Aman pada aksi hidup mati

ALOR SETAR: Pengendali Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Nafuzi Zain mahu pemainnya memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila melayan kunjungan Selangor FC pada aksi Liga Super yang diibaratkan perlawanan hidup mati buat Sang Kenari di Stadium Darul Aman malam esok.

Aksi menentang skuad Red Giants kendalian Tan Cheng Hoe bakal menjadi penentuan sama ada Kedah mampu terus bersaing merebut tempat kedua Liga Super dan mara ke peringkat saingan Asia sebelum perhitungan terakhir menentang Sabah FC, 17 Disember ini.

"Secara peribadi saya mahu membawa pasukan ini ke peringkat saingan Asia musim depan.

"Jadi, ini adalah peluang terbaik yang kami perlu manfaatkan kerana bukan senang untuk sampai ke tahap ini," katanya.

Nafuzi juga sedar saingan sukar bakal dilalui skuadnya kerana Selangor juga hadir dengan misi yang sama untuk kekal di tangga kedua dan mahu memastikan laluan ke saingan Asia tidak tersekat.

"Selangor mempunyai kelebihan kerana mereka berada di kedudukan kedua dengan 55 mata berbanding Kedah di tangga kedua dengan 53 mata dan jika kita gagal mengutip mata maka peluang kita akan tertutup, itu saja.

"Saya harap pemain akan secara sendirinya akan pertingkatkan lagi semangat mereka kerana kita tahu ini perlawanan penting untuk meletakkan pasukan di tempat terbaik.

"Saya juga berharap penyokong membanjiri Stadium Darul Aman pada aksi terakhir di laman sendiri ini kerana ia akan menambahkan lagi motivasi pemain untuk memburu kemenangan," katanya.

Berita Harian X