Jumaat, 1 Disember 2023 | 2:46pm
Pemain Selangor menyantuni penyokong mereka yang hadir memberi sokongan menjelang aksi penting menentang Kedah malam esok. - Foto FB Selangor FC
Pemain Selangor menyantuni penyokong mereka yang hadir memberi sokongan menjelang aksi penting menentang Kedah malam esok. - Foto FB Selangor FC

Cheng Hoe intai formula perangkap Kedah

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih Selangor, Tan Cheng Hoe sedang menilai taktikal terbaik untuk mengharungi aksi getir berdepan Kedah Darul Aman (KDA) dalam saingan Liga Super di Stadium Darul Aman, malam esok.

Bekas pengendali Harimau Malaya itu menjelaskan taktikal yang bakal digunakan nanti harus sesuai dengan corak permainan KDA yang mana kedua-dua pasukan memerlukan kemenangan dalam perlawanan itu.

Dia yang pernah mengendalikan pasukan Kedah pada 2014 hingga 2017 berkata, barisan kejurulatihan Gergasi Merah sudah melakukan analisis mengenai taktikal yang dimainkan pengendali Sang Kenari, Nafuzi Zain.

"Kita tahu corak permainan Kedah lebih kepada menyerang dan bukan parkir bas. Kita tahu Nafuzi ketika beberapa musim bersama Terengganu pun amalkan corak permainan itu.

"Kalau kita lihat contoh terbaik pasukan Kedah ketika menentang JDT yang mana mereka mampu menjaringkan tiga gol walaupun JDT berada pada tahap terbaik. Jadi kami perlu berwaspada dari minit pertama hingga wisel penamat.

"Kita kena buat satu perancangan terbaik sama ada perlu betul-betul menyerang, bertahan atau sebaliknya. Setiap pemain harus bersedia dengan situasi dan strategi yang kita akan mainkan," katanya.

Kemenangan ke atas KDA akan mengesahkan gelaran naib juara Liga Super buat Selangor dan mencapai sasaran untuk bersaing dalam kejohanan peringkat Asia musim hadapan.

Berbaki dua perlawanan lagi, Selangor kini mengumpul 55 mata, dua mata di hadapan KDA yang menghuni tangga ketiga.

Selain itu, Cheng Hoe mengakui KDA memiliki kelebihan kerana akan mendapat sokongan daripada ribuan penyokong yang dijangka membanjiri Stadium Darul Aman.

"Secara keseluruhan persiapan pasukan dalam keadaan yang baik. Berita baik buat pasukan adalah semua pemain bebas daripada penggantungan dan kecederaan.

"Kita tahu bukan satu perlawanan yang mudah, saya berasa ia menjadi aksi sengit dan getir. Sokongan penyokong di Stadium Darul Aman bakal menjadi motivasi kepada pemain Kedah yang turut mahukan keputusan positif," katanya.

Berita Harian X