Jumaat, 1 Disember 2023 | 12:02pm
Penjaga gol Manchester United, Andre Onana kerap melakukan kesilapan yang membawa padah kepada pasukannya. - Foto AFP
Penjaga gol Manchester United, Andre Onana kerap melakukan kesilapan yang membawa padah kepada pasukannya. - Foto AFP

FIFA boleh larang Onana beraksi bersama United

MANCHESTER: Andre Onana mungkin akan dilarang daripada beraksi untuk Manchester United berdasarkan peraturan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Dia bersara daripada bola sepak antarabangsa selepas meninggalkan pasukannya ketika Piala Dunia tahun lalu, tetapi kembali bersama skuad kebangsaan Cameroon yang dikendali Rigobert Song.

Bagaimanapun Onana mungkin akan melupakan Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) bagi memberi tumpuan kepada kelabnya, United.

Onana sekali lagi melakukan kesilapan yang membolehkan Galatasaray mengikat United 3-3 dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah.

Cameroon berhak memanggil Onana untuk beraksi dan sekiranya penjaga gol itu menolak, dia boleh dilarang oleh FIFA daripada bermain untuk United.

Pertahanan Liverpool, Joel Matip terlepas daripada larangan itu selepas gagal mewakili Cameroon di AFCON pada tahun 2017 dan 2020 - walaupun dia tidak bermain untuk negaranya sejak tahun 2015.

Onana mungkin akan terlepas enam perlawanan bersama United ketika AFCON berlangsung dari 13 Januari hingga 11 Februari.

Penjaga gol itu bergelut sejak berpindah ke Old Trafford pada musim panas lalu dan legenda Liga Perdana Inggeris, Ruud Gullit percaya pengendali United, Erik ten Hag perlu mula melihat kredibiliti Onana.

"Dia tahu ia adalah kesilapan yang teruk. Dia perlu bersemuka secara peribadi dengan penjaga gol dan bertanya apa yang dia lakukan.

"Mungkin dia perlu membuat keputusan. Masalahnya ialah dengan penjaga gol, anda tidak boleh merehatkan mereka sesuka hati, mereka memerlukan keyakinan.

"Dia kini dalam situasi sukar. Onana pernah menyelamatkan mereka sekali tetapi melakukan kesilapan dalam beberapa perlawanan lain," kata Gullit. - AGENSI

Berita Harian X