Khamis, 30 November 2023 | 8:25am
Penyerang Arsenal, Gabriel Jesus (dua dari kanan) merembat masuk gol kedua menentang RC Lens dalam Kumpulan B Liga Juara-Juara di Stadium Emirates, London awal pagi tadi. – Foto REUTERS
Penyerang Arsenal, Gabriel Jesus (dua dari kanan) merembat masuk gol kedua menentang RC Lens dalam Kumpulan B Liga Juara-Juara di Stadium Emirates, London awal pagi tadi. – Foto REUTERS

Arteta tak pernah mimpi menang besar

LONDON: Arsenal memastikan tempat ke pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara sebagai juara Kumpulan B selepas empat gol dalam tempoh 14 minit mencetus kemenangan besar 6-0 ke atas Lens awal pagi tadi.

Anak buah Mikel Arteta memerlukan hanya satu mata bagi mengesahkan tempat ke peringkat kalah mati, namun mereka tidak berpuas hati dengan sasaran itu ketika mereka membenam lawan dari Perancis pada malam yang amat sejuk di Stadium Emirates.

Kai Havertz (minit ke-13), Gabriel Jesus (m-21), Bukayo Saka (m-23) dan Gabriel Martinelli (m-27) masing-masing menjaringkan gol dalam tempoh 27 minit pertama.

Martin Odegaard menambah gol kelima sejurus sebelum rehat dan Jorginho menyumbat gol sulungnya buat Arsenal dengan menyempurnakan penalti pada minit ke-86 bagi melengkapkan kemenangan terbesar mereka musim ini.

Dengan berbaki satu perlawanan, The Gunners sudah terjamin untuk menghuni tangga teratas kumpulan ketika mereka berkelebihan empat mata di depan PSV Eindhoven.

Kapten Arsenal, Martin Odegaard menjaringkan gol kelima menentang RC Lens pada aksi Liga Juara-Juara di Stadium Emirates, London awal pagi tadi. – Foto REUTERS
Kapten Arsenal, Martin Odegaard menjaringkan gol kelima menentang RC Lens pada aksi Liga Juara-Juara di Stadium Emirates, London awal pagi tadi. – Foto REUTERS

PSV turut layak sebagai naib juara kumpulan susulan kekalahan Lens dan selepas mereka menang 3-2 di Sevilla pada perlawanan lebih awal.

Memastikan muncul juara kumpulan bermakna Arsenal mempunyai kelebihan beraksi di gelanggang sendiri pada aksi kedua pusingan 16 terakhir.

"Saya langsung tidak pernah mengimpikan keputusan sebegini. Kami berpeluang untuk layak dan muncul juara kumpulan. Kami lakukannya dengan cara yang menakjubkan," kata Arteta.

"Kami memperagakan permainan agresif. Hebat kami mampu menang dengan cara begini. Kami bertindak amat baik di laman sendiri dalam pertandingan Eropah, menjaringkan banyak gol dan tidak dibolosi satu gol pun.

"Kami percaya kami boleh melakukannya menentang kelab besar. Kini kami akan menunggu untuk melihat siapa yang akan kami temui seterusnya."

Lens mencetus kekalahan tunggal Arsenal pada peringkat kumpulan bulan lalu namun anak buah Arteta berjaya membalas dendam dengan penguasaan penuh ke atas lawannya. – AFP

Berita Harian X