Khamis, 30 November 2023 | 6:37am
Penjaga gol Manchester United, Andre Onana (dua dari kanan) gagal menyelamatkan sepakan percuma Hakim Ziyech bagi gol kedua Galatasaray pada aksi Liga Juara-Juara di RAMS Park, Istanbul awal pagi tadi. – Foto REUTERS

Silap Onana, Galatasaray bangkit ikat United

ISTANBUL: Penjaga gol Manchester United, Andre Onana melakukan dua kesilapan teruk ketika tuan rumah Galatasaray dua kali bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk seri 3-3 awal pagi tadi dan menyukarkan impian pasukan Inggeris itu untuk layak ke pusingan 16 Liga Juara-Juara.

Alejandro Garnacho, Bruno Fernandes dan Scott McTominay menyumbat gol buat United dalam perlawanan menarik itu, namun pasukan kendalian Erik ten Hag kekal di tangga tercorot Kumpulan A dengan empat mata daripada lima perlawanan, satu mata di belakang Copenhagen dan Galatasaray.

"Ia jelas teruk sekali. Kami kalah gol yang teruk dan terpaksa mengawal situasi itu," kata kapten United, Fernandes kepada TNT Sports.

Impian juara Eropah tiga kali itu untuk layak akan ditentukan pada hari terakhir aksi peringkat kumpulan selepas Copenhagen seri 0-0 di Bayern Munich.

United mesti menundukkan Bayern, juara Kumpulan A pada 12 Disember ini untuk mara.

Pemain Manchester United, Scott McTominay (tengah) meraikan gol ketiga bersama Aaron Wan-Bissaka dan Bruno Fernandes pada aksi Liga Juara-Juara menentang Galatasaray di RAMS Park, Istanbul awal pagi tadi. – Foto REUTERS

"Kami sepatutnya meraih semua tiga mata, jelas sekali," kata Ten Hag. "Tetapi kami patut melakukannya dalam perlawanan lain juga. Di tempat lawan menentang Copenhagen, di laman sendiri menentang Galatasaray, kami bermain dengan amat bagus.

"Namun pada masa sama, saya perlu mengkritik pasukan kerana cara bertahan kami tidak cukup bagus. Mendahului 3-1, kami tidak boleh melakukan kesilapan sebegini kerana ia menjadi penyebab."

Ten Hag bagaimanapun tidak menuding jari ke arah Onana.

"Saya fikir setiap gol yang kami lepaskan mempunyai ceritanya sendiri," katanya. "Ia hadir menerusi detik transisi dan kami tidak menyekat di kawasan tengah."

Pelawat mendahului 2-0 menerusi Garnacho dan rembatan mengagumkan daripada Fernandes sebelum Hakim Ziyech membalas satu gol menerusi sepakan percuma susulan satu kesilapan Onana.

Pemain Manchester United, Alejandro Garnacho (kiri) menjaringkan gol pertama menentang Galatasaray pada aksi Liga Juara-Juara di RAMS Park, Istanbul awal pagi tadi. – Foto REUTERS
Pemain Manchester United, Alejandro Garnacho (kiri) menjaringkan gol pertama menentang Galatasaray pada aksi Liga Juara-Juara di RAMS Park, Istanbul awal pagi tadi. – Foto REUTERS

McTominay meletakkan United 3-1 sejurus selepas rehat namun kelebihan mereka tidak lama apabila Ziyech menyumbat masuk satu lagi sepakan percuma di bawah lengan Onana dan Muhammed Kerem Akturkoglu menyamakan kedudukan buat Galatasaray pada minit ke-71.

Galatasaray menyambut United ke RAMS Park dengan satu sepanduk "Selamat Datang ke Neraka" di satu sudut stadium itu dan ia jelas ditujukan kepada Onana.

"Kami mendahului dua kali dan mempunyai banyak peluang untuk memastikan kemenangan tetapi penyudah kami tidak cukup tajam," kata Fernandes.

Dia sendiri mempunyai peluang terbaik untuk menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-85 namun percubaannya terkena palang. – REUTERS

Berita Harian X