Selasa, 28 November 2023 | 8:00am
Pemain Fulham, Willian menewaskan penjaga gol Wolves, Jose Sa menerusi tendangan penalti pada masa kecederaan aksi Liga Perdana Inggeris di Craven Cottage, London awal pagi tadi. – Foto REUTERS
Pemain Fulham, Willian menewaskan penjaga gol Wolves, Jose Sa menerusi tendangan penalti pada masa kecederaan aksi Liga Perdana Inggeris di Craven Cottage, London awal pagi tadi. – Foto REUTERS

Dua penalti Willian julang Fulham

LONDON: Sepakan penalti sumbangan Willian pada minit ke-94, kedua buatnya pada perlawanan itu membantu Fulham melakar kemenangan dramatik 3-2 ke atas Wolverhampton Wanderers pada aksi Liga Perdana Inggeris awal pagi tadi.

Alex Iwobi meletakkan Fulham di depan selepas tujuh minit dengan penyudah mengagumkan, menampan masuk hantaran pendek Antonee Robinson melalui celah kelangkang penjaga gol Wolves, Jose Sa dari jarak dekat.

Pelawat menyamakan kedudukan pada minit ke-22 selepas permainan cemerlang Jean-Ricner Bellegarde, yang menewaskan Robinson dua kali di sayap kanan sebelum menyilangkan kepada Matheus Cunha yang tidak dikawal untuk menanduk masuk.

Fulham kembali mendahului pada minit ke-59 menerusi sepakan penalti pertama Willian selepas terjahan Nelson Semedo ke atas Tom Cairney dihukum sebagai kekasaran, sekalipun kelihatan tidak sekeras mana.

Hwang Hee Chan kemudian ditolak oleh kapten Fulham, Tim Ream di penjuru kotak penalti dan dia menyamakan kedudukan sekali lagi menerusi penalti pada minit ke-75 bagi gol ketujuh buatnya dalam liga musim ini.

Pemain Fulham, Alex Iwobi meledak masuk gol pertama pasukannya ketika berdepan Wolves pada aksi Liga Perdana Inggeris di Craven Cottage, London awal pagi tadi. – Foto AFP
Pemain Fulham, Alex Iwobi meledak masuk gol pertama pasukannya ketika berdepan Wolves pada aksi Liga Perdana Inggeris di Craven Cottage, London awal pagi tadi. – Foto AFP

Namun kekasaran Joao Gomes ke atas pemain gantian Harry Wilson diberikan penalti oleh VAR pada lewat permainan dengan Willian memperdayakan Sa bagi menyumbat gol kemenangan.

Kemenangan itu, yang pertama buat tuan rumah dalam lima perlawanan liga, melonjakkan Fulham ke tangga ke-14 carta dengan 15 mata. Wolves kekal di tangga ke-12 dengan jumlah mata sama.

Wolves menjadi mangsa VAR beberapa kali musim ini dan bosnya Gary O'Neil berkata perlawanan awal pagi tadi "akhirnya membuatkan saya menentang VAR."

Beliau memberitahu Sky Sports, beliau bercakap dengan pengadil Michael Salisbury selepas perlawanan dan pegawai itu mengakui beliau patut merujuk monitor VAR bagi penalti pertama Fulham.

O'Neil juga memberitahu wartawan beliau berasakan Ream patut dilayangkan kad kuning kedua selepas memberikan mereka sepakan penalti dan pemain Fulham, Carlos Vinicius patut dibuang padang kerana menanduk kepala Max Kilman.

"Anda boleh persoalkan dua daripadanya tidak menyebelahi kami tetapi semua empat tidak memihak kami. Ia sukar diterima pemain, penyokong dan saya sendiri. Kami sudah banyak kali menjadi mangsa musim ini. Kami tidak berhak menerimanya," kata O'Neil. – REUTERS

Berita Harian X