Isnin, 27 November 2023 | 1:13pm
Pemain Penang FC, Abdeen Temitope Abdul (dua dari kanan) menewaskan penjaga gol Sri Pahang FC, Mohd Izham Tarmizi Roslan (kanan) pada aksi Liga Super di Stadium Bandaraya Pulau Pinang. - NSTP/Danial Saad
Pemain Penang FC, Abdeen Temitope Abdul (dua dari kanan) menewaskan penjaga gol Sri Pahang FC, Mohd Izham Tarmizi Roslan (kanan) pada aksi Liga Super di Stadium Bandaraya Pulau Pinang. - NSTP/Danial Saad

Kegembiraan berganda Akmal Rizal

GEORGETOWN: Penampilan sulung Akmal Rizal Rakhli di kancah Liga Super selaku pengendali sementara skuad Penang FC (PFC) dilihat membawa tuah apabila pasukan itu berjaya melakar kemenangan 3-2 pada aksi melayan kunjungan Sri Pahang FC di Stadium Bandaraya. semalam.

Bekas penyerang skuad kebangsaan berusia 41 tahun itu memuji kesungguhan anak buahnya mencipta kejutan di laman sendiri sekali gus mempamer corak permainan yang cukup berbeza selepas menempuh enam kekalahan dan satu seri dalam tujuh perlawanan terakhir mereka.

Menurutnya, perkara pertama dilakukan pada detik awal mengemudi pasukan adalah bertemu penyerang import, Abdul Abdeen Temitope yang dikritik hebat kerana belum menghasilkan gol sejak menyertai PFC pada jendela perpindahan kedua, Julai lalu.

"Saya tonton permainannya di YouTube dan dia boleh menjaringkan gol di Liga (Albania) musim lalu dan saya beri keyakinan bahawa dia adalah penyerang berkualiti.

"Saya berpandangan jika dia sentiasa berada dalam kawasan ditugaskan dia boleh menjaringkan gol dan tak perlu buat kerja lebih daripada apa yang sepatutnya dilakukan.

"Alhamdulillah dia beri persembahan terbaik. Saya rasa adalah menyeronokkan sebagai penyerang apabila kita mula menjaringkan gol," katanya.

Akmal Rizal turut mendedikasikan kemenangan itu dalam suasana keluarganya yang masih diselubungi kegembiraan sempena ulang tahun kelahiran isteri tercinta dan sambutan majlis pertunangan anak sulungnya, Sabtu lalu.

Jurulatih Penang FC, Akmal Rizal. - NSTP/Danial Saad
Jurulatih Penang FC, Akmal Rizal. - NSTP/Danial Saad

"Jadi ini juga hadiah yang menambah semangat untuk saya untuk saya buktikan kepada insan-insan yang rapat di sekeliling saya dan saya harapkan boleh menjadi inspirasi buat keluarga," katanya yang melengkapkan lesen kejurulatihan Pro Diploma baru-baru ini.

Anak kelahiran Jitra, Kedah itu amat berterima kasih kepada barisan kejurulatihan dan melihat semua pihak mempunyai kemahuan kuat untuk mencari kemenangan buat pasukan sepanjang tempoh 96 minit permainan.

"Kita lihat tidak banyak hantaran jauh sebaliknya kita buat hantaran pendek. Kita juga tidak kelam kabut menyerang dan bermain secara bertukar tukar hantaran untuk menarik pemain Pahang datang ke kawasan kita.

"Kita tahu Pahang ada kualiti pemain tempatan dan import. Tetapi pemain bersedia dan daripada situ banyak kombinasi pemain dilakukan jadi saya gembira gembira mereka cepat menyesuaikan diri," katanya.

Berita Harian X