Ahad, 26 November 2023 | 8:34pm
Pemain Penang FC, Abdeen Temitope Abdul meraikan jaringannya ketika menentang pasukan Sri Pahang FC pada aksi Liga Super di Stadium Bandaraya Pulau Pinang. NSTP/DANIAL SAAD
Pemain Penang FC, Abdeen Temitope Abdul meraikan jaringannya ketika menentang pasukan Sri Pahang FC pada aksi Liga Super di Stadium Bandaraya Pulau Pinang. NSTP/DANIAL SAAD

Penang buat Pahang terduduk

GEORGETOWN: Penang FC akhirnya menamatkan badi kekalahan sejak 8 Julai lalu selepas bangkit dua kali sebelum menundukkan Sri Pahang FC 3-2 pada aksi Liga Super di Stadium Bandaraya, petang tadi.

Babak pertama perlawanan menyaksikan pemain pertahanan, Khairul Akmal Rokisham cuba meledak gol pertama tuan rumah pada minit ke-10 tetapi rembatan kencangnya sekadar terkena tiang.

Namun, Rafael Silva akhirnya membuka akaun jaringan Tok Gajah pada minit ke-19 hasil hantaran Ashar Al Aafiz berganding dengan kapten pasukan, Sergio Fabian Aguero.

Kedudukan itu tidak kekal lama apabila, penyerang import Penang FC, Abdul Abdeen menanduk hantaran pemain tengah, Al Hafiz Harun seterusnya mencetak gol penyamaan pada minit ke-25.

Bersambung babak kedua, Shazwan Andik kembali meletakkan skuad Tok Gajah di hadapan pada minit ke-62.

Pemain pertahanan berusia 27 tahun itu melakukan rembatan kencang menggunakan kaki kanan tepat ke sudut kiri pintu gol lawan tanpa penjaga gawang, Haziq Muqri sempat melakukan apa-apa.

Tuan rumah nyata tidak mudah mengalah dengan Abdul Abdeen sekali lagi menjadi wira pasukan apabila menyamakan kedudukan 2-2 pada minit ke-64.

Penyerang tinggi lampai itu bijak memanfaatkan peluang terhidang dengan melakukan sepakan tepat ke tengah pintu gol sejurus menyambut bola yang melambung tinggi serta jatuh tepat ke kakinya.

Pemain Penang FC, Abdeen Temitope Abdul meraikan jaringannya ketika menentang pasukan Sri Pahang FC pada aksi Liga Super di Stadium Bandaraya Pulau Pinang di sini. NSTP/DANIAL SAAD
Pemain Penang FC, Abdeen Temitope Abdul meraikan jaringannya ketika menentang pasukan Sri Pahang FC pada aksi Liga Super di Stadium Bandaraya Pulau Pinang di sini. NSTP/DANIAL SAAD

Jaringan tersebut adalah gol kedua Abdeen sejak pemain yang mempunyai kerakyatan Ireland itu menyertai skuad Harimau Kumbang pada jendela perpindahan kedua yang lalu.

Skuad Harimau Kumbang terus menutup peluang Sri Pahang untuk bangkit dengan Muhammad Izzat Zikri Iziruddin melakukan sepakan separuh voli yang menewaskan penjaga gawang lawan, Muhammad Izham Tarmizi pada minit ke-70.

Keputusan itu menyaksikan Sri Pahang kekal berada di tangga kelima carta Liga Super dengan mengutip 44 mata manakala skuad Harimau Kumbang menghuni tangga ke-10 dengan 23 mata.

Berita Harian X