Ahad, 26 November 2023 | 2:48pm
Pemain Perak FC, Jesper Gunnar Fernando Nyholm (kanan) mengasak pemain Selangor FC Yohandry Jose Orozco Cujia pada perlawanan bola sepak di antara Selangor FC dan Perak FC dalam saingan Liga Super Malaysia 2023 di Stadium MBPJ Kelana Jaya. - Bernama
Pemain Perak FC, Jesper Gunnar Fernando Nyholm (kanan) mengasak pemain Selangor FC Yohandry Jose Orozco Cujia pada perlawanan bola sepak di antara Selangor FC dan Perak FC dalam saingan Liga Super Malaysia 2023 di Stadium MBPJ Kelana Jaya. - Bernama

Ketiadaan empat tonggak punca Perak dibelasah

KUALA LUMPUR: Kehilangan empat tonggak sebelum berdepan Selangor FC (SFC) menyaksikan Perak FC tidak mampu tampil dengan kekuatan penuh sekali gus terpaksa akur tewas 0-4 pada aksi 'El-Clasico Malaya', semalam.

Situasi itu diakui pengendalinya, Yusri Che Lah yang melihat ketiadaan empat tonggak iaitu Firdaus Saiyadi, Luka Milunovic, Azalinullah Alias dan Aiman Yusni sedikit sebanyak mengganggu percaturan awal mereka untuk aksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) itu.

Malah, situasi menjadi bertambah buruk apabila mereka dibolosi hanya selepas tiga minit aksi berlangsung apabila tandukan Sharul Nazeem Zulpakar memberikan gol pembukaan buat tuan rumah.

"Kita dihukum dengan gol awal dan selepas ketinggalan, kita cuba mengasak dan lakukan serangan tetapi sekali lagi kita dikecewakan dengan serangan balas pantas SFC yang sangat laju.

"Keupayaan pemain kita juga berada di tahap yang lebih rendah pada perlawanan ini dan kita kehilangan empat tonggak. Ini bukanlah satu alasan tetapi situasi ini merencatkan perancangan untuk bertemu pasukan seperti SFC.

"Pengalaman juga menjadi pemisah di mana pemain muda kita nampak gugup di hadapan gol dan sebab itulah pertahanan SFC mudah mematahkan serangan Perak FC," kata Yusri.

Pada aksi terbabit, SFC mendahului 2-0 pada babak pertama menerusi jaringan Sharul Nazeem dan juga Mukhairi Ajmal Mahadi sebelum menambah dua lagi gol selepas rehat hasil sentuhan Yohandry Orozco dan Ayron del Valle.

Keputusan ini juga menyaksikan SFC melakar kemenangan berganda ke atas The Bos Gaurus selepas turut menang 4-0 pada aksi pertama di Stadium Perak, Mei lalu.

Berita Harian X