Sabtu, 25 November 2023 | 11:25pm
Pemain Negeri Sembilan, Barathkumar Ramaloo (dua kiri) diasak pemain PDRM pada perlawanan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman. NSTP/AZRUL EDHAM
Pemain Negeri Sembilan, Barathkumar Ramaloo (dua kiri) diasak pemain PDRM pada perlawanan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman. NSTP/AZRUL EDHAM

NSFC akhirnya menang selepas enam bulan

SEREMBAN: Negeri Sembilan FC (NSFC) akhirnya kembali merasai nikmat kemenangan apabila menewaskan PDRM FC 2-0 pada aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi sebentar tadi.

Kemenangan itu sekali gus menamatkan kemarau kemenangan skuad Hobin Jang Hobin dalam saingan liga sejak enam bulan lalu, kebetulan menewaskan PDRM 2-1 pada pusingan pertama 18 Mei lalu.

Kemenangan itu juga sekurang-kurangnya harus mampu memberi nafas baharu buat skuad bimbingan K Devan dalam misi mereka untuk memperbaiki kedudukan dalam carta liga ketika cabaran mereka berbaki dua perlawanan lagi.

Bagaimanapun, babak pertama menyaksikan kedua-dua pasukan buntu mencipta jaringan dengan gandingan Bruno Suzuki dengan Dzulfahmi Abdul Hadi, hampir meletakkan PDRM di depan pada minit ke-27, tetapi kecekapan penjaga gol tuan rumah, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman, berjaya menafikan usaha pasukan pelawat.

NSFC turut mempunyai peluang terbaik mendapatkan gol pada minit ke-42 yang berpunca daripada tendangan sudut, bagaimanapun suasana kelam kabut dalam kotak penalti PDRM, gagal dimanfaatkan barisan depan tuan rumah.

Skuad Devan bagaimanapun tidak menunggu lama untuk mendapatkan gol sebaik aksi bersambung, apabila R Barathkumar memanfaatkan bola hantaran lintang Herold Goulon apabila dengan mudah menolak bola ke dalam gawang menewaskan penjaga gol PDRM, Mohamad Ramdhan Abdul Hamid pada minit ke-47.

Jaringan itu ternyata membakar semangat pemain NSFC dan mereka dilihat terus bekerja keras dengan melakukan serangan serta asakan ke kawasan kubu PDRM untuk menambah gol.

Usaha itu berhasil apabila pemain gantian A Selvan yang baru masuk kira-kira seminit, menyambut bola hantaran lintang Mohammad Izzudin Mohd Roslan sebelum menolak bola ke dalam gawang pada minit ke-78 sekali gus melengkapkan kemenangan tuan rumah.

Berita Harian X